Yuna mengaku kualiti hidup di Malaysia lebih baik

Mahu menyumbang semula kepada komuniti seni tempatan mendorong penyanyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna untuk tinggal lebih lama sepanjang berada di Malaysia kali ini.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 38, berkata, dia bersama suami, Adam Sinclair ingin menikmati waktu senggang di tanah air sambil menyempurnakan urusan kerja yang sudah disusun awal.

“Kami memang merancang tinggal lebih lama di tanah air untuk kepulangan kali ini seterusnya ambil langkah memulakan ‘base’ di Kuala Lumpur sebab saya rasa kualiti kehidupan di sini jauh lebih baik.

“Saya pun makin berusia, sudah penat berjalan-jalan. Saya ingin duduk Malaysia dan bersarapan nasi lemak setiap hari.

“Memandangkan saya juga ada beberapa komitmen tugasan, saya putuskan untuk berada di Kuala Lumpur selama tiga bulan iaitu sehingga Oktober,” katanya kepada HibGlam.

Selain terbabit dengan kerja sosial, Yuna turut diundang sebagai juri program realiti Gimme The Mic yang menghimpunkan 30 TikTokers tempatan.

Kata pelantun lagu Terukir Di Bintang itu, terbabit dalam program yang mencungkil bakat nyanyian menerusi platform media sosial tersebut mengingatkan zaman awal karier nyanyiannya sebelum berpeluang merakamkan lagu.

“Kebetulan saya bercuti panjang membuatkan saya terima tawaran Astro memandangkan sebelum ini sudah banyak undangan sebagai juri saya terpaksa tolak berikutan hal logistik.

“Sebelum ini saya tidak berkesempatan untuk buat perkara menyeronokkan ini sebab saya di Los Angeles, kalau nak terima undangan seperti ini kena duduk di Kuala Lumpur lebih kurang dua bulan.

“Apa pun saya berbesar hati dapat bersama rakan seperjuangan lain menggilap bakat berpotensi, mereka macam saya dahului yang mencari tapak menerusi media sosial,” katanya pada sidang media Gimme The Mic, petang tadi.

Selain Yuna, pertandingan nyanyian siaran Astro turut membariskan Ajak dan Hael Husaini serta selebriti Indonesia, Bunga Citra Lestari sebagai juri.

Terdahulu, Yuna meraih kejayaan sejak karya serta bakatnya pertama kali disedari menerusi platform MySpace oleh syarikat pengurusan Amerika, Indie-pop.

Selepas mengukuhkan nama di arena muzik tempatan, penyanyi asal Alor Setar, Kedah itu berhijrah ke AS sekitar 2011.

Sebelum bergerak sendiri, Yuna pernah bernaung bawah syarikat rakaman Fader Label dan Verve Records di AS. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok