[VIDEO] Komedi ada rasa, hantu pun bikin ketawa

BERPELUANG menonton tayangan filem Siapa Buka Lampu? baru-baru ini pada mulanya penulis agak skeptikal tentang kualiti dan tarikan karya arahan sutradara dari Seberang, Reka Wijaya.

Mungkin dengan lambakan filem seram komedi yang ‘asal boleh’ di pasaran menjadi alasan penulis berasa sedemikian.

Namun, filem yang dibintangi Punnagai Poo Gheetha, Qasrina Karim, Bell Ngasri, Issey Fazlisham, Ammar Titan, Mamak Puteh, Gesya Shandy, Angie Ang, Azhar Jalil dan Tia Tavee itu dipersembahakan dengan cukup kemas biarpun jalan ceritanya sudah dapat diteka sejak awal.

Mungkin ada yang tidak setuju apabila penerbitnya juga pelakon filem ini, Punnagai Poo Gheetha meewakili SG Entertainment & Advertising memilih sutradara Indonesia berbanding Malaysia sebagai pengarah naskhah berkenaan.

LAKONAN Qasrina dan Ammar berjaya menggeletek hati penonton.

Apa kurangnya karyawan tempatan, tetapi melihat kualiti yang dipersembahkan, selain barisan pelakon dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand, Siapa Buka Lampu? memberi ‘rasa’ yang berbeza.

Bahkan penerbitnya yakin strategi tersebut mampu meluaskan lagi pasaran filem ini di negara serantau.

Berbalik tentang pengisian, Siapa Buka Lampu? masih mengekalkan komedi nuangsa Nusantara yang mudah difahami, malah penonton juga pasti akan dapat mengenal watak hantu-hantu popular yang diparodikan dalam filem ini. Antaranya hantu Nak Nak daripada filem Nang Nak, Kak Lemah (Hantu Kak Limah) dan Annubelle (Annabelle).

Bersama barisan pelakon yang terdiri daripada orang komedi, filem berkenaan banyak adegan lucu yang ringkas tetapi mampu membuatkan penonton ketawa.

BUKAN sahaja pelakon, hantu dalam Siapa Buka Lampu? juga sarat elemen parodi yang melucukan.

Jika penonton mengharapkan sebuah karya yang seram, filem ini berada jauh dari gelanggangnya.

Tetapi jika penonton mahukan sebuah karya untuk bergelak tawa, sememangnya Siapa Buka Lampu! pilihan tepat. Bukan sahaja watak-watak utama yang mengelikan hati, tetapi barisan hantunya juga.

Cuma penulis agak kecewa watak Bell Ngasri bukan berpaksi pada elemen komedi, walhal kita semua tahu bahawa Bell seorang pelakon komedi yang cukup hebat.

Dalam filem ini, Qasrina bukanlah pelakon komedi, tetapi cukup serasi bersama gandingannya, Ammar Titan.

Sayangnya, ketika momentum filem sedang berada di puncak, secara tiba-tiba naskhah ditamatkan dengan sebuah penutup agak klise.

TURUT dibintangi Bell Ngasri, filem Siapa Buka Lampu? ditayangkan di pawagam seluruh tanah air sejak 4 Julai lalu.

Penonton mengharapkan sesuatu yang lebih dramatik selepas segala gangguan luar biasa yang menghantui penghuni vila mewah dalam filem berkenaan.

Siapa Buka Lampu? mengisahkan seorang pemilik hartanah mengupah sepasang suami isteri untuk menghalau hantu di sebuah vila yang menjadi rumah inap popular di Kuala Lumpur.

Keadaan bertambah rumit apabila hantu Annubelle yang berada dalam simpanan penangkap hantu itu terlepas dalam vila mewah tersebut.

Keseluruhan filem Siapa Buka Lampu? sebuah karya yang kemas, mudah dihadam dan melucukan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok