TERKESAN dengan kes pelajar lari dari rumah akibat diejek mendorong isteri kepada pelawak Shuib, Watie Hanifiah mengingatkan masyarakat agar jangan mengecam remaja berkenaan tanpa menyelidik situasi sebenar.
Kata Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 36, tindakan tersebut ada kalanya berpunca daripada keadaan mental seseorang terutama golongan muda yang tidak mampu mengawal emosi.
“Orang yang tak kena, dia takkan faham. Saat kita masih bersekolah, umur macam itu kita rasa budak-budak pandai ke nak kendalikan emosi bila kena ejek?
Nampak mudah, orang dewasa pun kadangkala tak pandai nak kendali emosi dan perbuatan apatah lagi budak bawah umur. Apabila mengadu pun nak tak nak kita sebagai anak kena pergi sekolah.
“Sebab tu tak mustahil budak yang dibuli atau diejek akan lari dari rumah sebab nak hadap kena ejek bukan benda mudah,” katanya dalam perkongsian di laman sosial.
Pada masa sama, ahli perniagaan terbabit tidak ketinggalan menitipkan nasihat kepada mangsa buli agar sentiasa bersabar berhadapan gangguan.
Pernah melalui situasi serupa ketika zaman persekolahan dengan pelbagai gelaran, Watie mengakui sangat memahami perasaan mereka yang teraniaya.
Saya tahu perasaan awak adik. Semoga satu masa awak akan jadi orang yang berjaya dunia akhirat. Tetaplah jadi orang baik yang sentiasa sabar dan mengalah,” katanya.
Sebelum ini, wanita terbabit pernah membuat pengakuan mengejutkan nekad melakukan pembedahan hidung sebanyak enam kali gara-gara diejek sejak di bangku sekolah.
Menerusi pendedahan dalam sebuah audio siar atau podcast, Watie memaklumkan mengalami tekanan melampau kerana dipanggil Fati Bawang gara-gara bentuk hidungnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun hilang selepas keluar dari rumah di Kedah, sejak 2 Julai lalu sudah pulang ke pangkuan keluarganya.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.
Anak tunggal itu dipercayai merajuk dan menghilangkan diri selepas tidak tahan kerap diejek rakan sekolah membabitkan bentuk tubuh atau ‘body shamming’. – HIBGLAM