Usah bandingkan bakat kita dengan Indonesia – Yuna

BERKELANA hampir 14 tahun di Los Angeles, Amerika Syarikat menuntut pengorbanan besar buat penyanyi Yuna yang hakikatnya perlu didahului jiwa kental.

Meninggalkan tanah air sendirian pada usia awal 20-an menjadikan personaliti yang ‘menjual’ bakat menerusi laman sosial itu enggan mudah menyerah kalah.

Perjuangannya nyata meraih kemanisan apabila mampu membuka mata nama besar dalam industri muzik global termasuk berkolaborasi dengan penyanyi Usher.

Namun sinar kegemilangan itu tidak sedikit pun membuatkan Yuna atau nama lengkapnya Yunalis Mat Zara’ai, 38, lupa di mana bumi dipijak.

YUNA mahu lebih aktif melakukan kerja amal bersama suami sebagai cara membalas kembali kerja baik kepada masyarakat.

Enggan menjauh dari radar muzik lokal, dia kerap kembali ke Malaysia memenuhi tuntutan kerja sambil menjenguk keluarga selain masih rancak mengadakan kerjasama dengan penyanyi serta pemuzik tempatan.

Biar kerap berselisih bahu dengan penghibur antarabangsa dan sepentas dengan mereka, Yuna tetap menghargai keunikan bakat penggiat seni tempatan yang dilahirkan daripada pelbagai platform.

“Negara kita juga mempunyai ramai penyanyi yang mempunyai vokal hebat serta bakat luar biasa untuk diketengahkan ke arena lebih luas.

Kita jangan malu untuk katakan perkara itu. Jangan bandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia kerana pasaran mereka cukup besar mengikut jumlah penduduknya yang melebihi 200 juta orang.

“Sebagai pemerhati dan penggiat seni sendiri, saya harap kita semua terus bagi sokongan padu terutama meraikan kemunculan lebih ramai penyanyi atau band baharu,” katanya  ketika ditemui HibGlam, baru-baru ini.

Berada di tanah air sejak akhir bulan lalu, kata Yuna, dia bersyukur dapat bercuti lebih panjang kali ini iaitu sehingga Oktober depan.

YUNA kini juri program Gimme The Mic Malaysia termasuk bersama Ajai (kiri) dan Hael Husaini.

Menyempurnakan tugasan hakiki bagi pembikinan buah tangan terbaharu, Yuna juga menerima undangan sebagai juri program Gimme The Mic Malaysia.

Pertandingan pencarian bakat dalam kalangan pembikin konten muzik itu disifatkan sentimental buat dirinya yang menonjolkan kebolehan vokal serta lagunya menerusi Myspace dan YouTube suatu ketika dulu.

“Kebetulan saya cuti panjang, jadi pelawaan Astro saya dapat terima kerana sebelum ini banyak juga tawaran daripada pihak lain terpaksa saya tolak.

Bukan tidak sudi sebab kalau setakat balik sini sebulan dua memang saya tak dapat penuhi permintaan terbabit dalam program televisyen.

“Istimewanya Gemme The Mic Malaysia ini juga ketengahkan bakat penyanyi di medium laman sosial, jadi seolah-olah mengimbas detik saya sebelum mempunyai album,” katanya yang bakal duduk di kerusi juri bersama Ajai, Hael Husaini serta Bunga Citra Lestari.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok