PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza hampir hilang nyawa ketika melahirkan cahaya mata pertama iaitu Siti Aafiyah.
Kata Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, perkara itu tidak dikongsikan kepada umum kecuali hanya diketahui individu terdekat seperti suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan ahli keluarga.
“Perjalanan saya untuk mendapatkan zuriat itu bukan mudah. Bukan sahaja kesukaran sebagai wanita, tetapi sebagai hamba Allah juga, namun saya percaya dengan rezeki Allah.
“Alhamdillah syukur Allah menjawab doa saya dan selepas bersalin itu saya mengalami komplikasi. Saya tidak banyak kongsi dengan masyarakat di luar sana, tetapi Tuanku Azizah saja yang tahu.
“Saya dan suami ada bercakap mengenai ini, tetapi syukur Allah masih menyelamatkan saya,” katanya pada majlis sidang media perasmian cawangan baru Alpha IVF, di Damansara, di sini hari ini.
Mengimbas kembali pengalaman untuk mendapat cahaya mata setelah lebih sedekad berkahwin, Siti memberitahu dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada membuat persembahan nyanyian ketika itu.
“Allah beri saya rezeki dari segi kerjaya tapi Dia uji saya dengan cahaya mata. Namun saya percaya kepada rezeki Allah yang akan memberi saya anak pada waktu yang tepat.
“Sambil sibuk kerja, saya curi masa buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebagai cubaan buat kali terakhir. Saya pernah terdetik begitu di dalam hati.
“Semasa buat rawatan IVF mendapatkan Aafiyah. Saya ambil keputusan untuk hentikan kerjaya nyanyian selama setahun,” katanya.
Dalam pada itu, sepanjang proses rawatan, Siti turut menjadikan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah sebagai idola.
“Sebenarnya waktu menjalani kaedah IVF, saya menjadikan Tunku Azizah sebagai idola.
“Jika saya buat rawatan lima kali, tapi Tunku Azizah menjalani rawatan sebanyak 17 kali untuk mendapatkan zuriat. Masya-Allah.
“Perjuangan menjadi seorang ibu bukanlah perkara yang mudah. Baik bersalin normal atau pembedahan, kedua-duanya ada perjuangan dan pengorbanan,” jelasnya.
Sementara itu, Alpha IVF Group Berhad menerusi Pusat Kesuburan Alhaya telah membuka cawangan baru yang kini beroperasi di Hospital Pakar KPJ Damansara 2.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandar.
Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Selepas lebih 10 tahun berkahwon, Siti disahkan hamil anak sulung pada Jun 2017 dan anak kedua pada Ogos 2020 menggunakan kaedah rawatan IVF. – HIBGLAM