Mana bukti? Kenapa tak keluarkan kalau ada?
Itu kata pelakon sensasi Ruhainies yang mencabar pihak menuduhnya hidup mewah atas ihsan atau ditaja ‘sugar daddy agar mengemukakan bukti sahih.
Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata, dia bekerja keras untuk menikmati kehidupan dan tahap kewangan yang stabil.
“Saya cuma nak hidup bahagia. Orang boleh cakap apa yang mereka mahu tapi saya bayar bil saya sendiri.
Media sosial boleh tipu sana sini. Saya ada ‘sugar daddy’, ada video tak senonoh, voice recording tak senonoh apa semua.
“Persoalannya, mana bukti? Kenapa tak keluarkan kalau ada. Benda yang lain-lain boleh pula keluarkan tentang saya,” katanya kepada HibGlam.
Berlapang dada dengan segala tohmahan dan cercaan tidak berasas netizen, pelakon drama rantaian, Hello, Mr. Perfect! itu percaya suatu hari nanti kebenaran akan terungkai dengan sendirinya.
Buat masa sekarang saya akur apa sahaja keluar dari mulut saya, memang orang takkan percaya.
“Mereka percaya apa yang mereka nak percaya dan saya tak salahkan khalayak pun.
Saya pun tak nak keluar kenyataan bukan-bukan sebab saya tak nak suap netizen benda-benda yang negatif. Zaman sekarang zaman fitnah,” ujarnya lagi.
Terdahulu, HibGlam menerusi ruangan pojok Diva melaporkan tentang kemewahan hidup Ruhainies yang dilihat sentiasa membeli-belah barangan berjenama menerusi apa yang dipaparkan dalam media sosialnya.
Bukan itu sahaja, Ruhainies juga memiliki hartanah di kawasan kondominium elit, Pavillion Suites, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, timbul suara sumbang mengatakan kehidupan mewahnya ditaja individu kaya berstatus ‘sugar daddy’. – HIBGLAM