TERUS mencetuskan spekulasi, pelakon Nelydia Senrose menjadi bualan ramai apabila didakwa tidak lagi bertudung.
Perkara tersebut tercetus selepas sepupunya, Aprena Manrose memuat naik foto bercuti di Cameron Highland yang memperlihatkan Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik dengan imej baharu.
Menerusi gambar tersebut, Nelydia dilihat ‘menayang’ rambut panjangnya berwarna perang di samping suami tercinta.
Semakan HibGlam menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen terkejut dengan penampilan terbaharu adik kepada aktres Uqasha Senrose meski telah bergelar Hajah.
Malah, ada netizen menyelar tindakan itu selain menasihatkan agar dia muhasabah diri dan kembali menutup aurat dengan sempurna.
“Tudung Nelydia sudah terbang? Entah apa yang difikirkan. Awak sudah cantik bertudung, buka tudung terus nampak tua, awak kejar apa sebenarnya?.” komen seorang netizen.
“Orang Palestin tidur pun pakai tudung sebab bimbang mati dalam keadaan tidak menutup aurat, moga Nelydia muhasabah diri, dunia ini persinggahan semata-mata, jangan leka dengan godaan syaitan,” komen seorang lagi pengguna media sosial.
“Ini mesti sebab sendu tiada tawaran sampai sanggup buka tudung, ikut jejak kakak Uqasha tudung terbang entah kemana,” tulis seorang lagi netizen.
Begitupun, ini bukanlah kali pertama tudung pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu ‘terbang’.
Sebelum ini, HibGlam melaporkan pelakon drama popular Setia Hujung Nyawa itu menukar gambar profil Instagram yang menunjukkan dirinya tidak lagi berhijab.
Pada September tahun lalu, ruangan pojok Mizz Lahar turut melaporkan wanita itu sekadar mengenakan topi ketika bercuti bersama saudara terdekat dan beberapa rakan lain di Bangkok, Thailand.
Nelydia difahamkan mula mengenakan hijab sejak 2022. – HIBGLAM