Tiada provokasi, Shuhada tarik balik kes pukul – Hafidz Roshdi

PERBICARAAN kes pukul pelakon Hafidz Roshdi terhadap bekas isteri hampir menemui noktah selepas Nurul Shuhada Mat Shukri menarik balik kes yang dıfailkan sebelum ini.

Mendengar hal itu Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, meluahkan rasa lega dengan keputusan itu.

Malah, kedua-dua mereka menerusi peguam masing-masing turut bersetuju untuk berdamai secara baik.

“Alhamdulilah saya sangat berpuas hati dengan keputusan hari ini.

Tiada sebarang isu atau provokasi daripada mana-mana pihak sebab kami setuju berdamai secara baik,” katanya kepada HibGlam.

Dalam prosiding hari ini Hafidz diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya menerima laporan Shuhada menarik balik kes pada 6 Julai lalu.

Laporan itu telah diterima dan akan dinilai oleh Pengarah Pendakwaan Negeri untuk mendapatkan pengesahan.

“Pihak pengawai penyiasat juga akan membuat siasatan bahawa tiada unsur provokasi dan pada masa sama Shuhada memilih untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik,” jelasnya.

Sementara itu, Nurul Shuhada Mat Shukri tidak hadir perbicaraan hari ini kerana dipercayai kurang sihat dan hanya diwakili Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula pada 2 Ogos depan.

Pada 2 Mac tahun lalu, Shuhada telah membuat laporan polis selepas mendakwa telah ditumbuk oleh Hafidz beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan di pipi.

Sebelum ini, pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk info, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3.

Pasangan itu kemudian disahkan bercerai talak satu pada 27 Julai 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok