“BULI siber sangat menakutkan.”
Demikian yang berulang kali meniti di bibir Shuib apabila membuka bicara tentang kegilaan netizen dalam dunia serba canggih ketika ini.
Bukan menafikan hak netizen untuk bebas bersuara sebaliknya hanya berkongsi ‘sepak terajang’ dunia hiburan tempatan.
Adakalanya, setiap kontroversi mahupun apa sahaja perkara yang dibangkitkan kekal ‘hidup’ dalam dunia maya sehingga mampu mendorong kepada banyak kemungkinan negatif.
Akui Shuib, gejala buli siber dewasa ini semakin membimbangkan sehingga ada yang nekad mengambil nyawa sendiri.
Menurut pemilik nama penuh Shahmira Muhammad itu, tindakan buli siber adakalanya tercetus berikutan segelintir masyarakat memandang enteng perbuatan melondehkan kehidupan dan aib orang lain.
“Buli siber adalah perkara yang sangat serius. Jika dulu kita lihat banyak berlaku di luar negara, kini semakin membimbang pula di negara sendiri.
Trend sekarang apabila ada sahaja cerita mengenai artis atau individu dikenali, netizen menerjah akaun Instagram artis tersebut dan komen ‘standby popcorn’, ‘Like’ tanda hadir, sudah mula ke belum, itu budaya yang teruk.
“Dengar macam seronok tetapi hakikatnya perkara sebegini memberi impak besar terhadap individu yang dibuli,” katanya.
Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan Sepahtu itu berkata, pengalaman menjadi menjadi mangsa buli siber adalah sesuatu yang tidak harus dilalui individu lain.
“’Saya juga salah seorang mangsa. Ketika itu hangat isu saya lewat bayar gaji pekerja sedangkan sepanjang berniaga, itulah pertama kali saya lambat.
“Namun, netizen mula menghentam seolah-olah lebih tahu semua perkara, seperti duduk dalam kasut saya.
Tolonglah hentikan budaya buli yang kebanyakan dilakukan orang Melayu kita sendiri. Mungkin ada orang boleh hadap, kalau tak boleh, tak musahil jadi teruk sehingga bunuh diri,” katanya lagi.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berharap tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pelaku bagi menunjukkan betapa seriusnya impak buli siber kepada masyarakat.
“Pelaku selalunya hanya berani menulis kononnya paling pandai dan tahu semua perkara. Mungkin mereka teruja dapat Likes dan tontonan yang banyak.
Tapi bila jumpa depan muka, mereka hanya tunduk dan merayu mohon maaf.
“Ini semua maruah orang, selagi mana komen itu tidak dipadam dalam media sosial, sampai mati akan kekal di situ,” ujarnya dalam nada tegas. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.