SEBUT sahaja muzik hip-hop, mudah sahaja figura bernama Joe Flizzow mendominasi fikiran.
Berkecimpung dalam dunia hip-hop sejak 1998 atas nama Too Phat yang pernah mencipta satu fenomena tersendiri, sehingga hari ini, anak jati Johor Bahru tidak perlu lagi tercari-cari ruang.
Berada di takhta tersendiri, Joe lega apabila muzik hip-hop kini sebaris irama arus perdana dan diterima tanpa skeptikal pendengar muzik tanah air.
Menurut pemilik nama lengkap Johan Ishak itu, pemuzik hip-hop juga senang cari makan pada zaman kini kerana karya yang dikongsikan lebih diterima pendengar
“Data menunjukkan muzik hip-hop adalah genre yang diterima ramai semua lapisan masyarakat serta usia.
“Sebelum ini ada lagu daripada kumpulan 53 Universe berjudul PP Di Bukit Tabur dan karya tersebut berada di carta kelima dalam negara walaupun tiada sokongan televisyen atau radio.
“Ini menunjukkan tiada diskriminasi untuk artis hip-hop. Orang dah kenal dan cinta dengan genre ini walaupun orang kita anggap muzik ini budaya Barat.
“Muzik hip-hop kita mana ada keganasan atau cerita merepek.
“Secara lazimnya memang positif, jadi kami sudah buktikan dalam muzik hip-hop Malaysia,” katanya kepada HibGlam.
Berbicara lanjut, pelantun lagu Satu Malam Di Temasek itu mengakui, perubahan cita rasa pendengar muzik tempatan sudah bertukar ke arah hip-hop.
Katanya, lagu hip-hop juga seperti puisi Melayu yang diluahkan dalam bentuk lagu.
“Zaman sekarang memang evolusi pendengar ke arah hip-hop. Kalau budak empat tahun boleh menyanyi maksudnya lagu tersebut hit.
“Mungkin betul, orang muda lebih sukakan hip-hop dan saya sendiri tidak terkejut rakyat Malaysia sudah mula sukakan genre ini.
“Dalam adat kita sebagai orang Melayu sudah biasa dengan pantun, puisi dan sajak. Semuanya ‘ada’ rap. Hip-hop juga sejenis irama dan puisi,” ujarnya lagi.
Jika ada anak muda generasi hari ini yang mengikut kata hati menjadi seperti dirinya, lelaki yang terkenal dengan jolokan Mr. President ada pandangan tersendiri.
Katanya, sikap rendah diri perlu ada dalam setiap orang selain tidak berputus asa dalam apa jua yang dilakukan.
“Tiada jalan pintas, tapi pastikan lagu kena bagus. Sesiapa pun walau tiada nama sekali pun kena ada lagu dan produksi yang bagus, tak boleh ambil jalan mudah.
“Insya-Allah, bila kita rendah diri dan kerja keras, akan ada peluang.
“Tak semua lagu saya mencapai hit tetapi apa yang penting kena sabar dan tidak cepat putus asa sehingga saya sendiri tak menyangka lagu Satu Malam Di Temasek boleh bertahan 15 minggu dalam carta,” jelasnya.
Ditanya, benarkah hanya sikap rendah diri pendorong utama kejayaannya, Joe sekali lagi mengakui hakikat tersebut selain tambahnya, hubungan bersama orang sekeliling juga harus dijaga.
“Apa yang saya tahu dan diajar selama ini supaya sentiasa bersikap rendah diri. Dari dahulu hingga kini, saya keluar tanpa pengawal peribadi kerana saya tiada musuh.
“Dalam industri kalau nak pergi jauh, pelaburan paling penting adalah sifat rendah diri dan menjaga hubungan baik dengan semua orang. Tak kiralah jurutera bunyi, penjaga lampu atau penjual air sekali pun perlu dilayan dengan baik.
“Ada artis hanya berkawan dengan artis sahaja, tapi mereka tidak baik dengan jurutera bunyi.
“Tak bolehlah begitu kerana kita pasti akan berjumpa dalam projek lain,” tuturnya yang bakal menjayakan konsert Konsert Divas & Diamonds 2024 bersama Datuk Jamal Abdillah, Datuk Rossa dan Dayang Nurfaizah. ah, Datuk Rossa dan Dayang Nurfaizah. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.