‘TheNoor taida kaitan dengan foto ‘soft porn’ Nilofa Group’

TERPALIT kontroversi penggunaan imej berunsur lucah, pembangun aplikasi gaya hidup TheNoor menafikan ada kaitan dengan penggunaan imej melampau membabitkan syarikat Nilofa Group.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama, Mohd. Izzairi Yamin berkata, TheNoor kesal dengan salah faham yang tercetus, sekali gus turut mengecam penggunaan gambar berunsur lucah atau ‘soft porn’ untuk tujuan promosi produk.

Selaku CEO dan Co-Founder TheNoor saya tidak bersetuju sama sekali penggunaan imej atau ‘posting’ berunsur lucah (haram) untuk tujuan pemasaran, promosi dan sewaktu dengannya.

“Ramai mengecam kononnya TheNoor tidak melakukan pemeriksaan terhadap gambar-gambar tular yang tidak beretika.

Kami ingin tegaskan bahawa TheNoor tidak ada kaitan dengan produk atau syarikat tersebut,” katanya menerusi kenyataan dalam Instagram.

Menurutnya, TheNoor tidak terlibat sama sekali dalam penghasilan atau pengedaran gambar dimaksudkan apatah lagi paparan yang tular adalah berkaitan produk lain.

Semua yang dipaparkan tidak mewakili strategi pemasaran atau piawaian etika TheNoor kerana kami juga mengecam penggunaan gambar yang tidak sesuai atau menyinggung norma masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izzairi berkata pihaknya komited bagi memastikan isu sedemikian tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Katanya, TheNoor tetap komited untuk mengekalkan piawaian integriti dan profesionalisme tertinggi dalam semua aspek perniagaan.

“Komitmen untuk mengekalkan jenama yang profesional dan menghormati masyarakat tidak akan pernah berubah.

Kami amat kesal atas sebarang kesulitan atau salah faham yang mungkin telah menggusarkan pelanggan, rakan kongsi, dan pihak berkepentingan kami.

“Kami mengambil serius perkara ini dan sedang menyelesaikan hal ini di peringkat dalaman untuk memastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Terdahulu, akaun Instagram rasmi Nilofa Group memaparkan beberapa foto objek yang seakan-akan menyerupai alat sulit wanita bertujuan mempromosikan produk mengeratkan hubungan suami isteri.

Perkongsian itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan foto tersebut ada unsur ‘soft porn’ sekali gus tidak menjaga sensitiviti masyarakat

Bukan itu sahaja, tindakan tersebut dikatakan kurang sesuai dengan penampilan Neelofa yang berhijab dan berpurdah.

Tidak lama selepas isu tersebut tular dan diperkatakan ramai, pihak Nilofa Group tampil membuat permohonan maaf. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok