TERUJA berpeluang menonton lakonan Fathia Latiff tidak lama lagi, pelakon Zarina Zainuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengarah Erma Fatima kerana sudi membuka ruang kepada aktres tersebut untuk kembali beraksi di kaca televisyen.
Zarina atau nama lengkapnya Nur Zarina Mohd Zainuddin, 53, mengharapkan kemunculan semula itu akan memberi semangat baharu buat Fathia untuk kembali aktif sebagai pelakon.
Terima kasih kerana telah berjaya membantu Fathia untuk pulihkan semula semangat dia. Insya-Allah,” katanya ringkas.
Pelakon filem Jwanita itu memberi reaksi tersebut di ruangan komen menerusi video sedutan penggambaran drama 10 episod bertajuk Jangan Tinggal Abang,Dek! dalam Instagram baru-baru ini.
Tidak hanya Zarina, malah peminat juga meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menyaksikan drama tersebut lebih-lebih lagi apabila kali terakhir Fathia dipercayai muncul pada 2017 dalam naskhah Menanti Februari.
“Entah kenapa sebak bila tengok Fathia. Saya suka sangat dengan lakonan Fathia. Semoga kembali kuat seperti dahulu.
Fathia jangan risau kerana ramai yang memberi sokongan untuk kembali sembuh. Tidak perlu buat muka untuk cantik. Hanya lakukan senaman dan terus ceria seperti dahulu.
“Semoga semangat Fathia pulih seperti dahulu. Saya memang suka tengok drama Ariana Rose.
Terima kasih Erma Fatima kerana memberinya peluang untuk buat kemunculan semula. Akhirnya Fathia kembali beraksi,” ujar peminat di ruangan komen.
Fathia yang sebelum ini terkenal menerusi drama Ariana Rose kini sibuk menjalani penggambaran drama Jangan Tinggal Abang, Dek! bersama barisan pelakon antaranya Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Adira Suhaimi, Elly Mazlein dan Alya Iman. – HIBGLAM