“SETIAP insan tidak dapat lari daripada membuat kesilapan, dan perkara itu seharusnya tidak perlu diperbesarkan lagi.”
Demikian reaksi Pendakwah bebas PU Hariz ketika diminta mengulas mengenai kontroversi membabitkan pendakwah yang dikatakan berlaku kekeliruan fakta dalam penyampaian.
PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, berkata, kesilapan yang berlaku itu secara tidak langsung memberi peluang untuk diperbaiki.
“Janganlah lemah dan terus menghentam orang dengan kata-kata negatif. Mereka ini bukan orang jahat dan pada saya individu itu seorang yang hebat dalam mengajar al-Quran.
“Saya masih ingat lagi ketika menyertai datu program, saya melihat beliau mengajar dan membaca al-Quran dengan baik sekali lagi.
“Sebagai mukmin jangan kita matikan asatizah-asatizah yang baik di Malaysia. Saya nasihatkan kita seharusnya sayang mereka,” katanya.
Suami kepada artis dan usahawan Neelofa itu mengatakan mengharapkan agar khalayak tidak terlalu menghukum, selain mengatakan dia sebelum ini juga perlu mempelajari hadis meskipun tidak sah.
“Memang kita disuruh untuk baca hadis ataupun benda yang sah. Perkara itu untuk tujuan pendidikan dan pengajaran, saya pun ada baca dalam kelas saya di satu universiti.
“Tapi itu untuk pengajian kita bersama untuk mengetahui status sahaja, tetapi itu tidak menghilangkan kebaikan dia (pendakwah) atau sesiapa saja, kalau tersilap.
“Kalau satu orang buat semua orang tegur pun agak sukar juga. Maksudnya kita tegur bagi nasihat dan masing-masing meneruskan kehidupan,” katanya ditemui pada majlis pembukaan butik Nunha Store di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Dalam pada itu, insiden tersebut turut membuatnya mengambil pendekatan berjaga-jaga agar tidak tersilap langkah.
“Saya menerimanya dan saya insaf. Insiden ini melibatkan kredibiliti dan terkait banyak pihak. Macam saya pemegang tauliah Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri yang lain, jadi saya rasa kena jagalah sebab ini karier kita juga.
“Kalau tiada tauliah susah untuk masuk mana-mana negeri. Saya rasa netizen dan orang ramai kini agak cakna dalam menerima sesuatu hukum sebab ramai sangat orang bercakap.
Terdapat juga sebahagian yang tidak mendalami ilmu agama sebenar turut menghentam dan bercakap hal tentang agama. Perkara itu sudah tidak betul,” katanya.
Sebelum ini, nama Ustaz Don Daniyal hangat diperkatakan apabila terkait kontroversi melibatkan kandungan ceramah sirah nabi.
Susulan itu, pada 21 Jun lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid dan surau untuk menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal untuk sebarang acara.
Kemudian, pada 27 Jun lalu Kosmo! Online melaporkan Don Daniyal diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Sementara itu Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan sudah menerima kenyataan bertulis Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berhubung fakta ceramah agama yang dilakukannya sebelum ini. – HIBGLAM