SELESA tidak mencanang hal perceraian, pelakon dan pengacara Irma Hasmie memilih enggan mengeluarkan kenyataan bagi mengelak spekulasi liar.
Irma atau nama lengkapnya Irma Hasmie Ibrahim, 42, berkata, dirinya sudah berdamai dengan takdir apabila memberi keutamaan terhadap ketenangan sendiri serta insan sekeliling.
“Apa yang terjadi mengenai rumah tangga saya sebelum ini adalah satu proses yang panjang. Buat waktu sekarang, boleh dikatakan saya okey, alhamdulillah.
Perkara itu (cerai) terlalu peribadi untuk diperkatakan, bahkan saya rasa masyarakat pun memahami keadaan tersebut.
“Saya juga merasakan tidak perlu membuat apa-apa kenyataan kerana cukup hanya orang terdekat yang tahu,” katanya selepas majlis pelancaran BeCalm Cookies, hari ini.
Pelakon filem Main-main Cinta itu juga mengakui tidak mampu mengawal pihak lain seperti sahabat baiknya, Reen Emran yang bertindak mengesahkan status baharunya dalam media sosial.
Kata Irma, temannya itu mungkin hanya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakan apabila memilih bersuara bagi pihaknya ketika isu rumah rumah tangganya hangat diperkatakan.
Semua ini berlaku di luar kawalan saya. Tentu individu terdekat tahu perkara sebenar. Namun itulah saya cakap, kawan sendiri pun saya tak mampu nak kawal.
“Saya pun tak boleh cakap lebih-lebih atau kawal kehidupan mereka. Benda itu sudah berlaku pun, cuma saya tetap dengan pendirian enggan ulas apa-apa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, keadaan dua permata hatinya iaitu Syed Irfha,11, dan Irma Nur Naylie,10, yang berada di bawah jagaannya baik-baik sahaja.
Alhamdulillah, anak-anak semua okey, insya-Allah. Saya bersyukur sangat semuanya baik, begitu juga kehidupan kami,” katanya.
Rumah tangga Irma dan pegawai perhubungan awam, Redza Syah Azmeer yang dibina selama 11 tahun berakhir sekitar Oktober 2023 menerusi pendedahan pemilik akaun laman sosial Reen Emran.
Kemudian Redza pula mengesahkan mereka sudah bercerai sebelum memaklumkan dirinya menamatkan zaman duda dengan mengahwini wanita pilihan bernama Fiza pada April lalu.
Begitupun, sehingga kini Irma masih menutup mulut daripada memberikan kenyataan mengenai isu perceraiannya itu. – HIBGLAM