Tak dapat gambarkan hidup tanpa isteri, anak – Farid Kamil

FARID Kamil, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam industri lakonan tanah air. Mana tidaknya, beliau sendiri sudah hampir tiga dekad bergelar pelakon. 

Sudah bermacam karakter dijayakan, namun apa yang paling membekas buatnya adalah membawakan watak individu hebat dan masih ‘hidup’ sehingga ke hari ini. 

Bukan tugas mudah kerana baginya, jika kesilapan berlaku, pasti menjadi medan kritikan penonton, sekali gus memberi kesan kepada kerjaya lakonannya.  

Terus terang saya berasa sangat bersyukur diberi kepercayaan membawakan watak tokoh negara yang masih hidup. Saya bukan sahaja dapat melakonkan watak tokoh terbabit, tetapi dalam masa sama individu itu sendiri berpeluang menonton karya saya. 

“Saya perlu tahu bagaimana cara pergerakan mereka, bagaimana mereka bercakap termasuk bergerak. Setiap perincian itu perlu diambil kira kerana penonton dapat rasa perbezaan,” katanya saat memulakan bicara. 

Berkongsi pengalaman ketika membintangi filem Anwar: The Untold Story, bapa dua anak itu meluahkan rasa syukur dengan kesempatan yang ada sekali gus memperuntukkan dirinya untuk menjalani cara kerja yang berbeza. 

“Membawakan watak yang masih hidup ini sangat mencabar kerana individu itu ada. Oleh itu, kesempatan yang ada ini menuntutkan cara bekerja yang berbeza agar watak yang dimainkan itu sama dengan personaliti tokoh sebenar,” katanya. 

Gold

Jika sebelum ini Farid membawa peranan sebagai Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini watak berubah kepada jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek dalam filem berjudul Gold. 

Bagi merealisasikan watak Rashid, Farid perlu menjalani latihan badminton intensif selain menurunkan berat sebanyak 15 kilogram (kg).

“Ketika ditawarkan berlakon watak ini, berat saya sebanyak 82kg. Bagi menghidupkan watak Rashid, saya perlu menjalani diet yang ketat daripada pihak produksi. 

“Setelah tiga bulan berlatih dan mengamalkan pemakanan seimbang, saya berjaya menurunkan berat badan kepada 67kg,” ujarnya seraya tersenyum. 

Bangga dengan pencapaian itu, Farid turut mengatakan filem tersebut turut memberinya peluang untuk merasai sendiri perasaan apabila bergelar juara Piala Thomas 1992. 

Katanya, produksi berjaya menghidupkan semula peristiwa bersejarah negara itu ketika pasukan badminton kebangsaan berjaya menjulang trofi Piala Thomas di Stadium Negara. 

“Saya sangat berterima kasih kepada filem ini kerana berkesempatan untuk merasai bagaimana keadaan di Stadium Negara pada waktu itu,” katanya. 

Bercerita mengenai watak itu, Farid berkara, dia memberi tumpuan sepenuhnya ketika menjalani latihan memandangkan dirinya sendiri sudah 30 tahun tidak memegang raket. 

“Disebabkan memegang watak sebagai jurulatih badminton, saya perlu nampak profesional dan menyakinkan. Memang agak mustahil untuk menjadi seperti dia (Rashid) dalam tempoh masa tiga bulan. 

“Saya anggap itu semua sebagai cabaran menjayakan watak ini dan berusaha berikan yang terbaik kepada penonton,” katanya. 

Gold terbitan Astro Show sebenarnya mengisahkan atlet paralimpik, Cheah Liek Hou yang merupakan seorang pemain badminton dengan kemampuan luar biasa, selain pemegang rekod tidak terkalahkan hasil daripada kemahiran yang sangat tinggi. 

Bawah asuhan Rashid, Cheah turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 meskipun perlu berdepan dengan pelbagai rintangan. 

SETELAH menjalani latihan intensif daripada profesional, Farid kini mengakui gemar bermain sukan tersebut pada waktu lapang.

 

 

Sukan badminton 

Bukan sahaja bermain badminton dalam filem, malah Farid kini menjadikan sukan itu sebagai aktiviti yang kerap dilakukan pada waktu lapang. 

Setelah mengetahui teknik permainan, suami kepada pelakon Diana Danielle itu mengakui badminton sudah menjadi sebahagian daripada dirinya. 

“Saya sudah menjalani latihan dan telah dibayar untuk bermain badminton. Sayang jika kemahiran yang ada itu dibiarkan begitu saja. 

“Disebabkan itu saya sangat minat bermain badminton sehingga menjadikan aktiviti itu sebagai rutin. 

“Kalau bosan atau badan rasa kurang aktif, saya akan bermain badminton dengan kawan-kawan atau keluarga,” ujarnya yang mendapat latihan daripada bekas pemain badminton kebangsaan, Adelle Ng. 

FARID kini mengamalkan sikap berterus terang dengan isteri terutama gandingan pelakon dan babak yang mungkin akan membuatkan hati isterinya cemburu.

Refleksi diri

Selain bercerita tentang filem dan sukan, Farid turut berkongsi tentang perjalanan hidupnya selepas 25 tahun bergelar anak seni. 

Sepanjang tempoh itu, pelbagai hitam putih kehidupan sudah ditelan. 

Setelah apa yang terjadi, Farid mengambil pendekatan muhasabah diri dan tidak lagi menoleh ke belakang.  

“Ketenangan itu akan datang dengan sendirinya.  Sebelum ini saya sering bertanya kepada diri sendiri, mengapa sukar untuk mendapat ketenangan, sedangkan sudah melakukan pelbagai perkara. 

“Jadi, saya bertanyakan kepada diri sendiri apa yang perlu diperbaiki kerana setiap manusia itu tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan,” ujarnya.

Mengambil masa seketika sebelum menyambung bicara, Farid bersyukur kerana Tuhan memberinya peluang kedua untuk memperbaiki diri. 

“Saya sedar apa yang berlaku kepada diri saya. Sebagai contoh mereka yang mengkhianati saya, saya tidak maafkan mereka. Awalnya saya fikir itu sudah cukup, tetapi lama-kelamaan saya rasa tidak tenteram.

“Saya pilih untuk memaafkan dan barulah saya rasa tenang,” katanya.

Bercerita lanjut, Farid memaklumkan, keluarga amat penting bagi dirinya selepas apa yang terjadi sebelum ini. 

“Dahulu saya muda, jadi saya tidak peka dengan perkara-perkara kecil seperti memeluk anak dan isteri sebelum keluar bekerja. 

 

“Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupan tanpa isteri dan anak-anak. Jadi saya kini lebih mengutamakan keluarga kerana kita tidak tahu sampai bila Allah akan pinjamkan mereka kepada kita. 

“Isteri dan anak-anak itu rahmat Allah. Ada sebab mengapa Allah berikan rezeki isteri dan anak-anak kepada kita. Jadi jagalah mereka sebaik mungkin,” pesannya. 

Sebelum menutup bicara, Farid sempat menitipkan rasa cinta paling terdalam buat permaisuri hatinya, Diana Danielle. 

“Lebih baik saya jujur dan memberitahu kepadanya saya berlakon dengan siapa dan ada babak yang bagaimana.  

“Begitu juga dengan anak-anak. Dahulunya saya sering mempersoalkan kepada tidak bersikap begitu dan begini. Tetapi apabila difikir balik, anak itu datang daripada kita.

“Jika anak itu buat silap, maka itu refleksi kepada diri kita sendiri, itu satu fakta yang tidak boleh lari,” tutupnya.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok