Tabiat tidur pelik bintang Korea Selatan

TIDUR merupakan proses istirahat bagi semua makhluk bernyawa dan sangat penting bagi memastikan kesihatan tubuh berada pada tahap optima.

Oleh itu, kita memerlukan waktu tidur secukupnya demi mengembalikan stamina dan fungsi tubuh.

Bercakap mengenai tidur, kadangkala ada perangai aneh atau lucu dilakukan segelintir orang sebelum melelapkan mata.

Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa bintang Korea yang mempunyai tabiat tidur yang pelik.

Victoria

SIAPA sangka penyanyi jelita, Victoria rupa-rupanya mempunyai tabiat tidur yang agak berbeza berbanding individu lain.

Difahamkan, anggota kumpulan F(X) itu suka tidur dengan posisi tubuh yang aneh.

Anggota F(X) lain mendedahkan bahawa mereka pernah melihat Victoria atau nama sebenarnya Song Qian, 37, tidur dengan keadaan kepala berada di bawah.

Lebih lucu, apabila individu terbabit memberitahu kakinya pula akan terangkat ke atas seperti sedang menonton filem seram.

Kang In

Penyanyi kumpulan Super Junior iaitu Kang In pula tidur dengan situasi menakutkan.

Ketika pemilik nama lengkap Kim Young-woon sedang tidur, dia akan mengigau, malah boleh sampai tahap memaki seseorang.

Kongsi rakan baiknya, Kang In pernah mengigau dengan teruk sehingga mengeluarkan ugutan mati seolah-olah sedang dikejar seseorang.

Ada yang berpendapat kemungkinan penyanyi yang juga pengacara itu bermimpi menjadi anggota polis.

Bae Suzy

ANTARA kesemua bintang, tabiat penyanyi Bae Suzy boleh dikatakan paling tidak masuk akal.

Dipercayai, bintang drama Doona! itu boleh tidur sambil mengunyah makanan. Memang pelik tetapi itulah kenyataannya.

Malah, ada yang berkongsi kononnya dia pernah menjerit-jerit, ketawa seorang diri dan menghantar pesanan ringkas secara rawak kepada rakan-rakannya sewaktu melelapkan mata.

Mungkin Suzy terlalu penat apabila seharian bekerja sehingga melakukan perkara pelik ketika tidur.

Lee Joon

TIDUR di merata-rata tempat mungkin kedengaran biasa tetapi itu yang dilakukan penyanyi kumpulan MBLAQ iaitu Lee Joon.

Tabiat tersebut didedahkan oleh ahli MBLAQ sendiri yang terhibur dengan cara tidur rakan mereka.

Lee Joon atau nama lengkapnya Lee Chang-sun bukan sahaja pernah tidur di atas lantai, pentas, almari tetapi dia juga pernah tidur dalam tab mandi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok