Serangan jantung, Ali XPDC masuk hospital

VOKALIS kumpulan rock terkenal XPDC, Ali dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak selepas mengadu  sesak nafas pagi semalam.

Isteri Ali iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned memberitahu Ali mengalami serangan jantung ketika mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

“Suami mengadu sesak nafas pagi semalam dan saya terus membawanya ke hospital untuk rawatan.

Pihak hospital kemudian melakukan ujian ECG (Elektrokardiogram) dan mendapati dia mengalami serangan jantung,” katanya.

Menurut Sharifah lagi, berikutan keadaan itu Ali dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dia masih boleh berjalan dan makan seperti biasa. Keadaannya dilihat stabil biarpun menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sharifah turut menjelaskan tujuan mereka berada di Ipoh adalah untuk mendapatkan rawatan perubatan Islam.

Ali kemudian disaran oleh seorang ustaz agar ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana dipercayai mempunyai masalah organ dalaman.

Untuk info, Ali mula mengalami masalah kesihatan sejak Ogos 2022 selepas rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang, Selangor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok