[VIDEO] Seram, Paku Tanah Jawa bukan sekadar mistik

PAKU Tanah Jawa, tajuknya sahaja bagaikan pantas membuat orang ramai berdiri bulu roma meskipun hanya sekadar menonton trailer atau melihat poster.

Filem yang sudah pun ditayangkan di pawagam sejak 27 Jun lalu itu memberi pengajaran serta ‘jumpscare’ yang mendebarkan dan boleh dikatakan, segar selain bakal menjangkau piawaian kebiasaan karya bergenre sedemikian.

Lebih menarik, garapan naskhah adalah inspirasi daripada kisah Gunung Tidar yang terletak di bahagian selatan Kota Magelang, Jawa Tengah secara umumnya cukup terkenal dengan ‘paku’ Tanah Jawa.

Biarpun ketinggiannya sekadar 503 meter dan tidak setinggi gunung-gunung lain di kepulauan Jawa, namun tetap mempunyai keunikan tersendiri serta beberapa kisah misteri.

TIDAK klise, Paku Tanah Jawa menggabungkan unsur seram dengan latar belakang budaya yang kaya, memberikan pengalaman tontonan unik dan menyeramkan.

Perkara tersebut memberi ilham kepada syarikat Armani Entertainment Sdn. Bhd untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kisah-kisah tersebut.

Menurut Penerbit Eksekutif, Datuk KK Chua, idea penerbitan filem tersebut timbul setelah mengetahui kisah misteri dalam kalangan masyarakat yang menghuni di kawasan Gunung Tidar.

“Saya tertarik dengan kisah ‘urban legend’ yang diceritakan sehingga memberi inspirasi buat saya untuk menerbitkan sebuah naskhah seram.

Apa yang menariknya, naskhah ini bukanlah sekadar filem mistik semata-mata, malah turut mengangkat budaya Sinden dan Sugihan,” katanya.

GABUNGAN dua negara, filem Paku Tanah Jawa merupakan gandingan kerjasama Malaysia dan Indonesia.

Mengenai proses pembikinannya pula, Chua berkata penggambaran bermula pada Mei 2023 dan berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan yang terletak di kota Jogjakarta.

Kami telah memilih pelakon kedua-dua negara yang cukup popular dan ini adalah antara tarikan filem ini.

“Kalau ditanya tentang gangguan pula, sudah tentu ada unsur-unsur mistik yang berlaku. Ada babak ritual dan kebanyakan penggambaran dilakukan di dalam hutan,” ujarnya.

Di Indonesia, tayangan filem Paku Tanah Jawa sudah mencecah 430,000 penonton atau sebanyak RM6.45 juta kutipan pecah panggung.

Selain genre seram antara yang menjadi kegemaran penonton, saya percaya penonton akan tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan,” ujarnya menutup bicara.

KARYA arahan Bambang Drias ini dibintangi Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis.

Sementara itu, pelakon Masayu Anastasia yang menggalas watak utama sebagai Handini pula berkata, cabaran paling utama adalah untuk berdepan beberapa gangguan mistik ketika menjayakan beberapa babak tarian.

“Ketika hari pertama berada di Jogja, sewaktu saya berlatih menari, bahu saya terasa sangat berat seperti ada sesuatu yang menindih.

Saya juga menjadi sesak nafas dan tidak dapat menggerakkan leher ke kiri atau kanan untuk beberapa hari. Seperti ada yang mengawal saya dari bahagian belakang.

“Namun, selepas saya menanggalkan baju kebaya merah dan membuka segala aksesori tarian, rasa tertindih itu hilang, memang pelik tapi itulah keadaan sebenar,” ujarnya.

Paku Tanah Jawa mengangkat kisah seorang gadis yang dipandang serong oleh masyarakat setempat. Semuanya berpunca daripada ibunya yang telah mengorbankan ramai lelaki demi memenuhi syarat ritual ajaran sesat yang diamalkannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok