PROGRAM bercorak travelog, Unfading Memoirs menampilkan keindahan panorama dan budaya yang mempesona sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.
Menampilkan gandingan selebriti Justin Bratton dan Selina Lo bersama pengacara Erwan Heussaff, Unfading Memoirs menawarkan pelbagai destinasi menarik di Malaysia yang boleh dikunjungi.
Bersiaran menerusi saluran AXN Asia bermula 11 Julai lalu, rancangan televisyen tersebut mendapat kerjasama dengan Tourism Malaysia sekali gus mempromosikan kepelbagaian dan keunikan Malaysia.
Sebagai individu yang pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, Selina menyifatkan keramahan penduduk setempat dan keenakan hidangan pasti akan menjadi perkara yang menggamit kerinduannya untuk kembali semula ke negara ini pada masa akan datang.
“Tidak dinafikan Malaysia mempunyai pelbagai hidangan yang lazat dan lokasi pelancongan menarik. Kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat setempat membuatkan negara ini unik dan mempunyai identiti tersendiri.
“Sepanjang menjalani penggambaran apa yang paling saya suka ialah makanan, Malaysia mempunyai banyak pilihan makanan yang lazat dan dan lokasi menarik untuk dikunjungi dan saya sendiri tidak sabar untuk kembali semula ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya dalam satu sesi temu bual secara dalam talian.
Kata Selina, antara hidangan unik yang akan kekal dalam ingatan adalah asam laksa, telur dadar tiram dan bunga durian.Selain itu dia juga berpeluang menikmati hidangan eksotik iaitu ulat sagu di Sabah buat pertama kali.
“Saya berasa sedikit terkilan apabila tidak berpeluang untuk menikmati buah durian. Biarpun saya tidak dapat merasai keenakkan durian, saya berpeluang untuk makan bunga durian yang juga enak.
“Awalnya saya agak sangsi bagaimana rasanya, tetapi selepas mencubanya, saya memang menyarankan kepada semua agar cuba hidangan ini,” katanya tentang hidangan bunga durian, antara menu tradisi di Sarawak.
Menarik mengenai program berkenaan lagi, penonton turut berpeluang untuk memenangi hadiah percutian penginapan tiga hari dua malam bernilai lebih RM6,000 di lokasi pilihan di Malaysia.
Caranya dengan memuat naik foto atau video pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan di negara ini di platform media sosial dengan tanda pagar #AXNUnfadingMemoirs dan #MalaysiaTrulyAsia.
Pertandingan berlangsung dari 15 Julai hingga 25 Ogos 2024, manakala pemenang akan diumumkan pada 3 September nanti. Maklumat lanjut termasuk terma dan syarat, layari www.axn-asia.com/UnfadingMemoirs. – HIBGLAM