TIDAK mengapa jika kelihatan dia bersama wanita lain kerana perceraian ini adalah atas permintaan saya”.
Demikian penjelasan pelakon Nora Danish berkenaan hal yang masih diajukan kepadanya berkaitan bekas suami, Mohamed Nedim Nazri atau Nedim.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran dalam Instagram Story agar semua pihak tidak lagi mencetuskan sebarang spekulasi membabitkan kehidupan mereka.
Menerusi hantaran sama, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, turut menangkis dakwaan pihak tertentu yang menuduhnya masih sebumbung dengan Nedim.
Katanya, mereka sudah bercerai sekali gus tidak mungkin tinggal di rumah yang sama lagi seperti dihebohkan.
Saya tidak tinggal serumah dengan Nedim dan tidak akan tinggal serumah kerana kami sudah bercerai.
Begitupun, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu tidak mendedahkan punca mahupun identiti pihak atau individu yang membuat tuduhan tersebut.
Pada masa sama, Nora meminta orang ramai tidak lagi melaporkan kehidupan peribadi Nedim kepadanya disebabkan mereka tiada apa-apa hubungan.
Bahkan kata pelakon filem Sayu Yang Syukur itu, keakraban yang terjalin adalah disebabkan kepentingan anak-anak.
Jadi biarlah dia dan kehidupannya. Jangan sampaikan kepada saya okey.
“Masing-masing sudah melalui jalan berbeza. Kami hanya rapat atas urusan anak-anak. Tidak lebih,” ujarnya lagi.
Biarpun sudah berpisah, silaturahim antara mereka dipuji peminat terutama selepas Nora melawat Nedim di hospital akibat penyakit yang tidak didedahkan seminggu selepas disahkan bercerai.
Malah, ramai netizen menyifatkan hubungan baik Nora dan Nedim patuh dicontohi pasangan lain yang sudah berpisah.
Terdahulu, perceraian pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 itu mengundang kejutan selepas memilih membawa haluang masing-masing pada 16 Jun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia enam tahun.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang zuriat iaitu Putra Rayqal, 15 tahun.
Namun perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan pada 2008. – HIBGLAM