PELAKON sensasi Aliff Aziz mengakui dia kini dalam tempoh berehat sebelum memutuskan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas ini.
Aliff atau nama penuhnya, Mohammad Aliff Aziz, 33, memberitahu dia kini banyak menghabiskan masa dengan keluarga di Singapura.
Sekarang saya banyak habiskan masa untuk berehat dari segi mental dan emosi. Kadang-kadang orang kata konon macam kitalah yang terpaling sedih, tidak begitu pun.
“Saya manusia biasa yang ada banyak kesilapan jadi saya ambil masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Ada beberapa perkara yang sedang saya usahakan dan kini kembali perlahan-lahan untuk kumpul semula semangat serta lebih akrabkan lagi hubungan antara keluarga saya di Singapura,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding baca pertuduhan kes khalwat membabitkan dirinya dan pelakon, Ruhainies di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dalam pada itu, bekas juara Gegar Vaganza musim kesembilan itu juga memberitahu keputusan untuk berehat bukan disebabkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan ketika ini.
Berehat itu bukan maksudnya menolak dan tiada tawaran tetapi saya pilih untuk bertenang sekejap supaya tidak terburu-buru buat sebarang keputusan berkaitan kerjaya atau apa sahaja.
“Jadi, kini saya lebih kepada berehat dan banyak menyanyi dalam media sosial menghiburkan hati,” katanya lagi.
Aliff turut menegaskan dia masih mempunyai wang simpanan untuk meneruskan kehidupannya ketika ini.
“Alhamdulillah, saya masih ada lagi wang simpanan.
Sebelum ini rezeki ada juga dan beberapa perkara yang saya tak boleh kongsi. Apa pun doakan yang baik-baik untuk saya,” ujarnya.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Mahkamah seterusnya menetapkan prosiding seterusnya akan disambung pada 17 Oktober depan.
Terdahulu, pada 20 Jun lalu Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies kembali menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.
Rentetan itu, bekas isteri, Aliff iaitu Bella Astillah memfailkan cerai sebelum mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada 13 Jun lalu. – HIBGLAM