Sampai sekarang saya trauma sebab filem Jiwa Taiko

ENGGAN kejadian sama berulang, pengarah Osman Ali mengakui trauma untuk mengarah filem aksi.

Kata Osman, 50, insiden kemalangan yang berlaku di set penggambaran filem Jiwa Taiko pada 2011 memberi kesan mendalam pada dirinya.

“Sewaktu menjalani penggambaran filem Jiwa Taiko dulu ada babak letupan. Seorang pelakon telah tercedera dan mengalami kesan luka bakar.

“Sebab itu saya rasa trauma dan takut untuk mengarah filem genre aksi kerana insiden itu masih lagi menghantui,” katanya.

Difahamkan pelakon yang dikenali sebagai Raffie Husin itu mengalami kecederaan pada badan dan tangan kanan ketika melakukan adegan letupan dalam filem Jiwa Taiko.

Tambahnya, pihak produksi sudah memastikan tahap keselamatan pelakon terjamin bagi mengelakkan sebarang perkara buruk berlaku.

“Apabila kita membuat filem, kita sudah berhati-hati, tetapi kadang-kadang berlalu juga perkara yang tidak diduga.

“Dalam pada sudah berjaga-jaga itu, tetap ada juga kemalangan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, bercakap tentang drama arahannya bertajuk Barajiwa yang juga merupakan genre aksi, Osman berkata, dia bersyukur tiada sebarang kecederaan serius yang berlaku sepanjang penggambaran.

“Buat cerita aksi ini buat saya sedikit takut. Tetapi, syukur sepanjang arahan cerita ini kami sudah membuat persiapan rapi.

“Cedera teruk itu tiada, cuma mungkin ada lebam-lebam sedikit kerana melakonkan babak berlawan.

“Latihan koreografi aksi sudah dibuat, tetapi kadang-kadang kemalangan itu berlaku tanpa sedar mengakibatkan pelakon juga tersasar (cedera),” katanya.

Drama Barajiwa yang ditayangkan di Unifi TV saluran Degup itu dibintangi oleh MK K-Clique, Josiah Hogan, Mawar Rashid, Fauzi Nawawi, Alicia Amin, Ady Mohammad, Talha Harith, Nina KSC dan ramai lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok