Sadiq Jamil ‘langgar’ arahan primadona Sarimah

BIARPUN dilahirkan sebagai cucu kepada primadona Datuk Sarimah Ibrahim, pelakon baharu, Sadiq Jamil tidak pernah mendabik dada apatah lagi menggunakan kelebihan itu sebagai jalan pintas bergelar pelakon.

Tegas jejaka berusia 26 tahun itu, dia memilih untuk bertatih dari bawah tanpa menggunakan sebarang ‘kabel’ untuk memancing perhatian penerbit dan pengarah.

Apatah lagi minat terhadap dunia lakonan telah bercambah dalam hatinya sejak berusia 7 tahun. Disebabkan itu dia nekad memburu peluang meski ditentang keluarga.

“Awalnya nenek cakap cukup-cukuplah warisnya menceburi bidang seni. Nenek kurang senang dengan keputusan ini, namun saya berdegil untuk teruskan juga hasrat masuk dalam industri.

“Sedar nenek seniwati terkenal dan bapa saya (pengarah M. Jamil) juga terlibat dalam bidang seni. Namun, saya tidak menjadikan itu sebagai kelebihan atau jalan pintas.

“Dari awal saya usahakan sendiri dan tidak mengambil kesempatan dengan kelebihan yang ada,” katanya.

Berkat kesungguhan, Sadiq kini mampu tersenyum apabila diberi peluang tampil sebagai watak utama dalam siri Astro Originals berjudul X-Change yang mula bersiaran semalam di Astro Premier (saluran 110) selain boleh ditonton di Astro AEC (saluran 306), On Demand, Astro GO dan Sooka.
Ikuti perkongsian Sadiq mengenai usahanya untuk bergelar pelakon tanpa bantuan keluarga dan kemunculan sulungnya sebagai peranan utama dalam naskhah arus perdana.

KOSMO!: Bolehkah ceritakan watak dan pengalaman membintangi drama X-Change?
SADIQ JAMIL: Saya membawakan watak Capik, anak kedua Yakob lakonan Datuk Rosyam Nor dan Mariam (Marisa Yasmin). Capik mempunyai dua abang iaitu Qabil (Hariz Hamdan) dan Khalif (Arfie Shah). Capik agak ‘gila-gila’ orangnya dan pandai menyembunyikan kesedihan dengan lawak jenaka. Bagi menjayakan watak ini saya merujuk beberapa watak dalam siri The Umbrella Academy, Animal Kingdom dan Stranger Things. Saya gabungkan beberapa watak daripada siri tersebut untuk menghidupkan Capik. Banyak pengalaman yang saya belajar di set penggambaran antaranya, cara melakonkan watak individu yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Masih ramai belum mengenali anda, boleh kongsi secara ringkas perjalanan anda sebagai pelakon. Ini merupakan karya pertama saya membawakan watak utama. Sebelum ini saya banyak jadi pelakon tambahan selain aktif dalam persembahan pentas.

Ikutkan, saya aktif membuat persembahan pentas sejak usia 12 tahun dan melanjutkan pengajian dalam jurusan teater dan lakonan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kemudian saya banyak terlibat dengan penghasilan filem pendek secara indie sebelum berjaya menembusi arus perdana. Saya mengharapkan drama X-Change ini dapat membuka lebih banyak peluang pada masa akan datang.

SADIQ tidak pernah mendabik dada bergelar cucu kepada primadona Sarimah sebaliknya mengambil pendekatan untuk sentiasa bersikap rendah diri dan berdikari.

Adakah kerana bergelar cucu seniwati Sarimah Ahmad dan anak pengarah M. Jamil membuatkan anda terdorong memilih bidang ini?

Sejujurnya saya minat berlakon sejak berusia tujuh tahun. Biarpun dilahirkan dalam kalangan berdarah seni, mereka tidak pernah memaksa atau meminta saya ikut jejak langkah mereka.
Pernah dahulu nenek mengharapkan agar saya tidak terlibat dalam lakonan, tetapi disebabkan minat mendalam, saya tetap memilih untuk menceburi bidang ini.
Tidak dinafikan, mereka inspirasi saya untuk jadi pelakon. Apa yang saya boleh katakan, dahulu ketika berumur 12 tahun saya pernah ikut nenek menjalani penggambaran. Waktu itu saya nampak nenek sangat fokus baca skrip berulang kali dan berlatih dengan pelakon lain.
Saya rasa sangat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni dan mereka tidak putus memberikan sokongan.

Reaksi anda apabila didakwa bergelar pelakon kerana menggunakan kabel keluarga?

Tiada istilah kabel, dari dulu saya usaha sendiri dengan menghadiri banyak sesi uji bakat sehinggalah berjaya galas peranan utama.
Saya tidak pernah canang kepada umum Sarimah Ahmad itu nenek saya. Begitu juga ketika menjalani penggambaran X-Change, kru dan pelakon tahu apabila penggambaran hampir tamat.
Bukan bermaksud mahu berahsia tetapi saya mahu berdiri atas bakat sendiri.
Lagi pun untuk sampai ke tahap ini bukan satu perkara mudah. Banyak liku yang saya lalui dan syukur keluarga pun akhirnya merestui. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok