Raja, ratu ‘soundtrack’ Korea Selatan

SELAIN meriah dengan deretan lagu dan kumpulan K-pop, industri hiburan Korea Selatan juga meledak dengan koleksi drama serta filem yang ‘mendunia’. 

Berbekalkan jalan cerita yang menarik dan lakonan memukau, lagu tema atau OST (Original Sound Track) turut menjadi elemen penting dalam menyokong perkembangan naskhah, suasana serta emosi. 

Maka tidak hairan terdapat beberapa bintang Korea yang bukan sahaja dikenali kerana kemampuan vokal mereka tetapi juga sering menyumbangkan suara dalam pembikinan lagu tema drama mahupun filem. 

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang sering menjadi buruan penerbit untuk menyanyikan lagu tema sehingga dilabel raja dan ratu OST.

IU

IU

IU bukan sahaja berbakat besar dalam bidang nyanyian malah diiktiraf sebagai pelakon hebat di Korea Selatan selain mahir menulis lagu. 

Menerusi drama Hotel Del Luna, idola berusia 31 tahun itu tidak hanya tampil sebagai bintang utama tetapi turut menyumbangkan suaranya untuk OST berjudul All About You. 

Lagu tersebut berhasil menjuarai pelbagai carta lagu di Korea dan menjadi OST paling digemari khalayak terutama pemuja bakatnya.

Suara lembut penuh emosi IU ketika mengalunkan lagu itu membuatkan setiap babak dalam drama terbabit menyentuh hati penonton. 

TAEYEON

Taeyeon

VOKALIS utama kumpulan Girls’ Generation, Taeyeon turut melakar kejayaan sebagai penyanyi solo.  

Idola berusia 35 tahun itu terkenal dengan vokal padu serta bijak menyuntik emosi dalam setiap nyanyiannya sekali gus menjadikannya pilihan sempurna untuk mengalunkan lagu tema drama.  

Salah satu OST nyanyiannya paling mencuri perhatian adalah  All About You yang menghiasi drama Hotel Del Luna. 

Meskipun lagu itu turut dinyanyikan IU, versi Taeyeon memberikan sentuhan yang berbeza dan unik. 

Suara Taeyeon yang penuh perasaan berhasil menterjemahkan emosi yang ada dalam drama tersebut seterusnya membuatkan kalangan penonton terasa semakin dekat dengan naratif drama terbabit. 

GUMMY

Gummy

Memiliki vokal yang hebat, aura Gummy sebagai ratu soundtrack tidak dapat disangkal lagi. 

Boleh dikatakan semua lagu tema drama dendangannya menjadi kegilaan ramai. 

Antaranya, You Are My Everything yang menghiasi  drama popular Descendants of the Sun. 

Lagu tersebut menjadi siulan di seluruh dunia dan sangat digemari pencinta drama Korea. Suara Gummy yang penuh perasaan seiring melodi  menyentuh hati membuat lagu terbabit menjadi sangat ikonik. 

OST tersebut bukan sahaja meningkatkan populariti drama, malah mengangkat lagi jenama Gummy seterusnya dihargai sebagai bintang yang tiada tandingan.

BAEKHYUN

 

Baekhyun

Anggota kumpulan EXO, Baekhyun juga ada dalam senarai Kimchi Panas minggu ini. 

Mana tidaknya, menerusi drama Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo, idola berusia 32 tahun itu tidak hanya menggalas tanggungjawab sebagai watak utama bahkan turut menyanyikan lagu tema naskhah tersebut. 

Lagu berjudul For You yang dinyanyikan bersama Chen dan Xiumin berhasil menjadi salah satu OST paling digilai dan pernah menjuarai beberapa carta muzik dalam dan luar negara.

Alunan melankolik itu memiliki melodi yang indah dan lirik penuh makna, menggambarkan cinta dan pengorbanan yang dilalui karakter-karakter dalam drama tersebut sehingga beberapa kali ‘trending’ dalam platform media sosial.

Paduan suara harmoni tiga anggota EXO itu menjadi malah mendapat pujian pakar muzik dan menerima beberapa anugerah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok