Seperti pasangan bercinta, tindakan pelakon Puteri Sarah meninggalkan komen ‘manis’ pada hantaran Instagram milik aktor Indonesia, Andi Arsyil mengundang pelbagai spekulasi.
Andi atau nama sebenarnya Andi Arsyil Rahman Putra, 36, menerusi perkongsian tersebut memuat naik sekeping gambar dengan berlatar belakang sebuah gunung berserta kapsyen mengenai hati.
“Gunung itu begitu dalam dan tinggi, seperti hati ini,” tulisnya.
Namun menariknya adalah komen pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 39, yang seakan-akan bermadah mesra mengatakan tiada mustahil untuk dikecapi dalam hidup.
“Tiada gunung terlalu tinggi buat kamu daki, tiada jurang terlalu dalam buat kamu turuni. Nikmatilah hidupmu,” komen Sarah.
Lebih mencuri tumpuan apabila pelakon drama Hijrah Jannah itu turut meletakkan emoji berbentuk hati berwarna putih pada komen tersebut.
Rata-rata netizen seperti merestui hubungan pasangan terbabit selain mendoakan agar mereka segera mendirikan rumah tangga memandangkan masing-masing berstatus solo.
“Amboi bukan main lagi dua ketul ini, kalau sudah suka sama suka, kami sebagai peminat merestui sahaja, segeralah berkahwin!,” komen seorang peminat.
“Peminat kalian berdua hadir! Suka sangat tengok Sarah dengan Andi, moga kalian berjodohan,” tulis seorang lagi netizen.
Terdahulu, hubungan Sarah dan Andi menuai tanda tanya apabila mereka kelihatan sentiasa bersama sehingga timbul khabar angin mendakwa dua pelakon itu sedang bercinta.
Pun begitu, sehingga kini, baik Sarah mahupun Andi, kedua-duanya mengunci kemas mulut masing-masing selain enggan mengesahkan spekulasi tersebut. – HIBGLAM