Pulau mangsa buli tindakan pengecut – Rita Rudaini

LANTANG menyuarakan isu buli di asrama, pelakon Rita Rudaini berharap pengurusan cakna dengan sebarang insiden membabitkan murid, sekali gus memastikan tindakan pulau pelajar yang mengadu kepada keluarga dihentikan segera.

Ujar Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, budaya ‘menutup mulut’ mangsa daripada bersuara atas alasan kononnya perbuatan kasar senior untuk menjadikan seseorang itu kuat hanya dibuat si pengecut yang takut permainan jahatnya terbongkar.

“Sebab itulah saya paling pantang dengar buli ni. Kalau dekat asrama, mereka tak boleh mengadu kalau kena buli. Nanti akan dipulau.

“Budaya macam ini pun ada juga pengurusan dan cikgu menyokong serta pulau pelajar yang mengadu kepada keluarga mengenai apa yang jadi pada mereka. Mengadu barang kena curi pun kena pulau.

“Saya awal-awal lagi dah pesan anak-anak saya, jangan takut budaya pulau. Semua ini adalah permainan dan perbuatan jahat mereka bagi mengelak diketahui,” katanya dalam Instagram Story.

Ibu kepada dua anak itu mengakui emosi mengikuti kes kematian sadis Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera rakan pengajian.

Biarpun Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut universiti yang menyebabkan kematian Allahyarham Zulfarhan tujuh tahun lalu, kesedihan itu memberi impak kepada orang ramai.

Secara tidak langsung, katanya insiden terbabit juga wajar dijadikan ikhtibar kepada semua pihak terutama ibu bapa agar jangan memandang ringan setiap aduan supaya tidak menyesal kemudian hari.

“Ibu bapa dan semua orang, mari kita ambil pengajaran daripada Allahyarham Zulfarhan, jangan ambil mudah atau takut melaporkan (dibuli).

“Jika takut beritahu pengurusan, bercerita dengan ahli keluarga. Benda salah tetap salah, ibu bapa kalau anak mengadu jadilah pendengar yang baik. Jangan kata ‘kau ni benda sikit pun tak tahan, adatlah duduk asrama’,” ujarnya.

Menurut Rita lagi, dia juga kurang faham dengan mentaliti segelintir ibu bapa yang menganggap tindakan menghubungi anak di asrama sebagai perkara tidak perlu.

“Ada mak ayah yang pelik apabila kita kata kita bercakap dengan anak setiap hari. Apa yang pelik? Kemudian dikata anak manjalah, tak berdikarilah.

“Bukankah elok bersembang dengan ibu bapa setiap hari. Takkan ada benda penting baru nak ‘call’.
Menyantuni ibu bapa walau di mana pun kalian.

“Ada pula ibu bapa bangga ‘anak saya seminggu sekali call, okey lah tu’. Anak dia ‘terpaling’ berdikari. Semua serah pada sekolah, macam letak anak situ tapi tanggungjawab bagi pada sekolah sepenuhnya,” katanya.

Menerusi hantaran lain, pelakon drama Jangan Bunuh Matahariku itu menegaskan menyokong andai pihak yang menerima surat layang dalam kes membabitkan Zulfarhan turut dikenakan tindakan undang-undang.

Isu surat layang itu tular apabila ada pihak menyebarkan kembali surat layang dihantar seorang penuntut UPNM yang meminta bantuan daripada warden mereka menyelamatkan Allahyarham Zulfarhan.

Difahamkan, surat layang tersebut mendedahkan Allahyarham berada dalam keadaan kritikal di dalam bilik 4-10, Blok Satria dan memerlukan bantuan perubatan segera.

Terdahulu, enam tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, manakala 12 lagi rakan mereka yang dipenjara tiga tahun dibenarkan menggantung hukuman penjara dengan jaminan RM7,000.

Mengikut pertuduhan itu, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat di UPNM pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok