PENERBIT dan pengarah sensasi, Michael Ang bakal berdepan tindakan saman syarikat pengurusan, Armani Entertainment Sdn. Bhd. dan tuntutan bayaran RM500,000 kerana gagal memenuhi tuntutan kontrak beberapa projek.
Ketua Pegawai Eksekutif Armani Entertainment, Datuk KK Chua, 45, berkata, pihaknya mengambil tindakan tersebut kerana selebriti itu gagal melunaskan beberapa perjanjian yang ditandatangani sejak Oktober 2021.
Kami telah membayar sebanyak RM500,000 kepada dia. RM250,000 secara tunai, dan sebahagian lagi menerusi sumbangan renovasi rumahnya di Desa Park, Kuala Lumpur melalui program Fix It Til You Make It.
“Antara perjanjian yang dibuat bersama Michael adalah menjadikan empat bakat dari Armani Entertainment sebagai watak utama drama terbitannya serta enam lagi sebagai watak pembantu.
Selain itu, lagu nyanyian artis Armani Entertainment juga akan dijadikan sebagai lagu tema drama terbitannya,” katanya ketika ditemui di satu sidang media khas di sini, hari ini.
Menurut Chua lagi, disebabkan Michael gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam kontrak pertama dan enggan memulangkan wang, pihaknya memberi peluang kedua kepada pengarah itu dengan melakukan kontrak kedua.
“Antara tanggungjawabnya yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam kontrak yang ditandatangani pada tarikh 2 September 2022 adalah memulangkan semula wang berjumlah RM50,000 sebelum 15 September 2022 tetapi dia tidak berbuat demikian.
Dia juga berjanji akan memastikan seorang artis Armani Entertainment terpilih sebagai peserta program Gegar Vaganza manakala tiga lagi untuk Big Stage.
“Walaupun salah satu artis kami iaitu Coex terpilih untuk menyertai Big Stage 2023, tetapi saya perlu tegaskan itu bukanlah daripada usaha Michael,” katanya lagi.
Menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Michael sebagai sesuatu yang malang, KK Chua berharap perkara itu dapat dijadikan peringatan agar orang ramai lebih berhati-hati.
Dalam sidang media itu, peguam KK Chua, Lim Zi Hwei memaklumkan sebutan kes pertama akan diadakan pada 5 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – HIBGLAM