Polis Peronda lawan Gerak Khas

MENGHASILKAN sebuah naskhah yang mengetengahkan isu kepolisan bukan satu perkara mudah.

Banyak aspek perlu dipertimbangkan termasuk dakwaan berniat ingin mengalahkan drama Gerak Khas yang pernah mencita fenomena suatu ketika dahulu.

Itu antara yang perlu ditepis penerbit drama Polis Peronda, Datuk Yusof Haslam.

Tegasnya, menghasilkan sebuah lagi drama kepolisan bukan untuk melawan Gerak Khas sebaliknya ingin meneruskan legasinya sebagai pencetus naskhah tentang anggota beruniform.

“Saya tidak akan bersara daripada menerbitkan drama bercorak kepolisan  dan Polis Peronda bukan hendak me­lawan Gerak Khas.

Lagipula Gerak Khas sudah berada dalam kelas dan memiliki peminatnya sendiri.

“Meskipun anak saya berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), saya gunakan kuasa veto untuk terbitkan drama Polis Peronda ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujarnya, Polis Peronda yang sudah mula ditayangkan pada Jumaat lalu menerusi saluran TV3 merupakan drama yang boleh menyambung legasi naskhah kepolisan yang kini jarang diketengahkan kepada masyarakat.

“Dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ada banyak unit dan Polis Pe­ronda adalah salah satu daripadanya.

Menerusi drama ini, saya mahu orang sedar kewujudan dan kepentigan mereka dalam masyarakat. Dengar nama hanya sebagai peronda tetapi tugas mereka juga berat dan besar.

“Legasi itu perlu diteruskan kerana saya sudah usahakan sejak berpuluh tahun lalu,” katanya lagi.

Tapisan

Dalam pada itu, Yusof berkata, setiap pelakon perlu melepasi syarat dan tapisan PDRM sebelum berjaya tersenarai dalam drama ini.

Katanya, syarat tersebut demi menjaga dan memastikan reputasi anggota badan beruniform itu daripada tercalar disebabkan apa sahaja yang dilakukan para pelakon sebelum ini terma­suk mempunyai rekod jenayah.

“Sebenarnya syarat ditetapkan PRDM adalah prosedur biasa, bukanlah suatu bebanan kepada syarikat produksi.

Sesiapa sahaja kalau hendak buat cerita mengenai anggota polis kena patuhi syarat diletakkan. 

“Sebelum penggambaran, syarikat produksi perlu hantar gambar dan profil pelakon ke Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman untuk dinilai.

“Prosedur ini bukan perkara baharu tetapi sudah mula dilakukan sejak zaman saya arahkan drama Gerak Khas,” jelasnya.

Baginya, prosedur sebegitu adalah bagus bagi menjaga imej PDRM daripada tercalar.

“Pihak polis ada data mereka dan disebabkan itu, mereka boleh tahu latar belakang seseorang artis.

Pernah juga berlaku pelakon terpaksa digugurkan walaupun sedang beraksi kerana terbabit dengan kes jenayah atau kes mahkamah atas nasihat polis.

“PDRM tidak mahu perbuatan mereka itu memberi implikasi kepada mereka. Disebabkan itu, mereka perlu pastikan setiap pelakon ada rekod bersih, termasuk tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” ujarnya lagi.

Isu semasa

Sementara itu, salah seorang pengarahnya, Syafiq Yusof berkata, isu yang yang diketengahkan dalam setiap episod adalah yang berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat hari ini.

Jelasnya, menghasilkan sebuah drama televisyen adalah berbeza dengan filem yang sering dilakukannya sebelum ini.

“Bagi saya untuk drama begini, kami ketengahkan banyak isu semasa yang berlaku pada hari ini.

Kalau filem kita lebih utamakan aksi tetapi untuk ramai, lebih kepada pengisiannya yang mampu menyentuh emosi penonton.

“Banyak isu yang kami ketengahkan termasuk masalah rumah tangga dan macam-macam lagi,” kongsinya.

Diterbitkan oleh Skop Productions Sdn. Bhd., Polis Peronda mendapat sentuhan Yusof sebagai pengarah, selain Syafiq dan C Kumaresan.

Drama yang mula ditayangkan sejak 28 Jun lalu itu dibarisi pelakon hebat seperti Ali Redza, Puteri Sarah Liyana, Shah Iskandar, Raja Afiq dan Ramona Zamzam.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok