Pierre Andre mampu lihat benda ghaib

PIERRE Andre pernah mencipta satu ledakan. Satu ketika dahulu pada usia yang masih muda, dia digelar King of Horror Malaysia.

Masakan tidak, setiap karya seram yang dibikin Pierre cukup realistik, antaranya, Jangan Tegur, Al-Hijab, Seru, Highland Tower, Jin, Malaysia Ghost Story dan Kecoh Primadona Kene Hantu!.

Namun, ramai yang tidak tahu Pierre atau nama sebenarnya, Muhammad Pierre Andre Nazarul Andre, 39, memiliki hijab mata yang nipis. Impaknya, dia mudah terbuka hijab dan melihat makhluk ghaib.

Kata Pierre, kelebihan tersebut bukanlah untuk dibanggakan. Hakikatnya, dia seorang yang penakut, tetapi selaku karyawan seni, dia menggunakan kelebihan tersebut sebaik mungkin dalam setiap karya seram yang dihasilkan.

“Jujurnya, dahulu saya kerap nampak hantu atau kelibat kerana hijab mata saya nipis sejak kecil. Sekarang berbeza, saya lebih kepada rasa bukannya nampak.

“Jadi, saya tahu bagaimana untuk menggambarkan hantu dalam setiap karya seram yang saya hasilkan.
“Sehingga sekarang, jika tempat itu ‘keras’ badan saya akan memberi tindak balas seperti pening atau rasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Perkara yang sama berlaku ketika penggambaran filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu di hutan Shah Alam, Selangor.

“Saya sangkakan mahu diserang vertigo tetapi apabila diselidik tempat penggambaran itu agak keras,” kata Pierre membuka bicara.

Kongsinya, meskipun hijab matanya nipis, kelebihan tersebut tidak pernah mendatangkan masalah sehinggalah dia berlakon dalam Pontianak Harum Sundal Malam 2 pada 2005.

Ketika itu, dia mula berubah dan sering sakit selepas bermain kuda kepang yang didatangkan khas dari Indonesia untuk penggambaran.

“Ketika kuda kepang itu mula dibawa masuk dalam studio, saya sudah bau kemenyan, tetapi saya lihat semua orang okey sahaja.

“Selesai penggambaran, badan saya mula sakit-sakit dan suka bersilat dengan sendirinya.

“Maknanya saya bukan diri saya ketika bersilat sehingga ibu terpaksa membawa saya berubat.

“Itulah kali pertama saya berubat gara-gara hijab nipis. Selepas itu jika ternampak kelibat, saya hanya buat tidak hirau kerana tidak menganggu. Alhamdulillah, sekarang, semakin meningkat usia saya sudah kurang nampak hanya rasa sahaja,” tuturnya.

Kembali semula

Tidak dinafikan, anak kepada aktres Khatijah Tan itu antara pengarah yang berbakat besar, namun Pierre memilih untuk menghilangkan diri daripada radar dunia seni selama 10 tahun.

Sepanjang tempoh tersebut , suami kepada Siti Nur Hidayah Hashim dan bapa kepada dua orang cahaya mata itu memilih untuk fokus terhadap perniagaan pakaian dan keluarga.

“Jika diputar waktu, saya tetap akan membuat pilihan yang sama. Bagi saya 10 tahun berehat daripada dunia seni adalah sangat berbaloi kerana saya dapat melihat anak sulung, Aishah yang kini berusia lapan tahun membesar depan mata.

“Selama tempoh 10 tahun itu juga saya dapat melihat industri seni daripada pandangan yang berbeza. Sekarang saya kembali dengan idea yang lebih segar,” ujar Pierre.

Sepanjang sedekad menghilang, dia masih dihujani tawaran lakonan dan pengarahan, namun ketika itu hatinya masih berbolak balik sehinggalah mendapat tawaran daripada penerbit David Teo.

“Tipulah jika tidak rasa rindu untuk berkarya kerana bidang seni adalah minat saya. Cuma saya percaya pada rezeki dan perancangan Allah.

“Waktu itu saya menolak tawaran kerana enggan campur aduk perniagaan, keluarga dan kerja seni. Saya kata pada diri, jika saya tidak bekerja untuk penerbit lain, mungkin saya akan buat sendiri sahaja.

“Tetapi Allah aturkan saya bertemu kembali dengan David Teo. Dia mempercayai saya dan suka akan karya-karya yang saya hasilkan.

“Insya-Allah kerja seni saya tidak akan berhenti pada satu dua filem sahaja, saya sudah susun karya untuk sepanjang tahun,” katanya.

Karya baharu

Berkongsi tentang karier seninya, selain filem Jangan Pandang Belakang2: Aku Tahu Asal Usulmu, Pierre juga akan muncul dengan filem Dajjal: Satu Malam diPeDajjal.

Meskipun tajuknya begitu, filem berkenaan langsung tidak memfokuskan mengenai ‘makhluk’ yang bermatlamat menyesatkan manusia seperti disebut dalam al-Quran itu.

Sebaliknya, filem yang bakal menjalani penggambaran pada 16 Julai di Bukit Fraser, mengisahkan kegiatan segelintir kelompok pemuja syaitan.

“Saya tidak berani menghasilkan filem yang mengenai dajal kerana sangat berat dan jika saya ingin lakukan saya perlu kajian yang lebih berdasarkan al-Quran dan hadis.

“Apa yang cuba saya sampaikan adalah sifat dajal pada kumpulan pemuja syaitan. Hakikatnya memang ada tetapi saya tidak tahu kesahihan dan ritual yang dilakukan.

“Apa pun saya akan cuba sehabis baik untuk mengingatkan penonton tentang dajjal,” tutur Pierre.
Jika hendak dibandingkan dengan filem seram yang pernah dihasilkan, karya kali ini lebih ganas dan menggunakan efek darah paling banyak.

“Saya mahu gambarkan suasana tempat pembunuhan yang begitu seram seperti mana filem Seven. Saya juga mengambil pengaruh filem Evil

Sebab itu, tidak sesuai untuk diklasifikasikan sebagai tayangan umum sebaliknya untuk tontonan 16 tahun ke atas,” beritahu Pierre lagi.

Biarpun filem Dajjal adalah yang paling ganas pernah dihasilkan, Pierre masih berpijak di bumi yang nyata dan sedar dia harus mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Saya telah membaca garis panduan yang ditetapkan oleh LPF. Bagi saya tidak adil untuk penerbit jika filem yang diterbitkan perlu banyak potongan.

“Jika ada isu yang berbangkit saya sudah bersedia dengan jawapannya,” katanya.

Filem Dajjal: Satu Malam diPeDajjal yang akan dihasilkan dalam bentuk trilogi diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MIG).

Naskhah berkenaan dibintangi Amir Nafis, Bidin Alzaifa, Khatijah Tan, Dai Syed, Jaja Iliyes, Hanna Halim, Faa Zaini dan Jay Iswazir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok