‘Pernah bergelar tahi judi, dikepung gangster’

BUKA pekung sebagai pengajaran, pelawak Shuib mendedahkan pernah terjebak aktiviti perjudian sehingga mengalami ketagihan.

Jelas Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dia pernah dikepung ahli kongsi gelap selepas memenangi wang taruhan sebanyak RM68,000.

“Masa itu aku main dan menang RM68,000. Bila sudah menang tiba-tiba tuan kedai macam tidak mahu bagi aku duit seolah-olah anggap aku menipu.

“Dia siap hubungi gangster datang ke kedai, ada dalam enam orang. Sampai sahaja mereka terus panggil ke bilik belakang tanya macam-macam perkara.

“Bila aku dengar sahaja dia cakap macam itu terus aku balas ‘Kalau abang dah cakap macam itu maksudnya abang memang tidak mahu bagi duit ini. Tak mengapalah, saya gerak’,” katanya dalam sebuah audio siar (podcast).

Sejak kejadian tersebut, pelawak dan usahawan itu bertekad meninggalkan dunia kotor selain sanggup mendedahkan kerugian apabila bergelar tahi judi.

“Lillahitaala, aku cakap pada diri aku ini adalah kali terakhir aku main judi dan memang aku dah tak main lepas itu.

“Banyak duit sudah aku habiskan untuk main berjudi dan aku pernah ‘bet’ (bertaruh) RM150 setiap pusingan.

“Dalam satu minit sebenarnya permainan itu boleh main sebanyak tiga atau empat pusingan. Jadi, bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam masa seminit?

“Bila aku main dulu, banyak dah aku rugi sampai tidak terkira berapa jumlahnya. Aku dulu punyalah tidak ada duit, sampai kering langsung,” ujarnya.

Menurut bapa kepada empat anak itu lagi, selepas sedar kekhilafan diri kehidupannya lebih tenang sekali gus mampu menabung.

“Perbezaannya masya-Allah, Allah nak bagi. Kadang-kadang aku rasa kau berjudi kau rasa puas, bila kau menang kau gempak.

“Namun, kehidupan kau masih susah. Bila aku berhenti, duit bukan kata boleh simpan, malah semakin banyak,” ujarnya lagi.

Shuib mendedahkan perkara tersebut dalam Dol’s Podacast yang dikendalikan diirnya bersama Shuk Sahar dan Fizie Roslan.

Sebelum ini, isterinya Watie Hanifiah turut mendedahkan pernah menjalani pembedahan kosmetik pada bahagian hidung sebanyak enam kali gara-gara diejek sejak di bangku sekolah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok