SELEPAS melakar kejayaan dengan dua filem terdahulu, sutradara popular Jack Neo kini kembali dengan I Not Stupid 3 (INS3) yang kini rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Meskipun merupakan rantaian daripada dua filem terdahulu, INS3 bagaimanapun merupakan naskhah ‘standalone’ kepada filem I Not Stupid yang diterbitkan pada tahun 2002 dan I Not Stupid Too (2006).
Maka, tiada isu untuk memahami jalan cerita buat para penonton meskipun tidak menonton filem pertama dan keduanya sebelum ini.
Berdurasi dua jam 13 minit, INS3 mengisahkan Wang Zi Hao lakonan pelakon cilik Zhou Yuchen iaitu seorang pelajar yang berasal Shanghai, China berpindah ke Singapura bersama ibunya, Wen Ting (Hu Jing) demi sistem pendidikan lebih baik.
Jumlah gred Zi Hao dalam pelajaran yang kurang konsisten menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam diri Jayden (Camans Kong) yang selama ini sering mendapat tempat pertama.
Ibu Jayden, Sophia (Jae Liew) yang berpewatakan garang mula ‘menekan’ anaknya sehingga mencetuskan perang psikologi antara dua pelajar berjuang bersungguh-sungguh demi meraih tempat pertama.
Drama keluarga, pendidikan
Sepanjang dua jam tayangan, penulis berasakan kelainan filem ini yang ternyata dekat dengan kehidupan masyarakat Asia.
‘Berperang’ sesama ibu bapa untuk membuktikan kehebatan anak masing-masing, memberi penderaan mental tanpa sedar kepada anak dan perbezaan kasta dengan kekayaan.
Semua itu adalah ‘drama’ atau situasi normal di negara Asia termasuk negara maju, Singapura yang merupakan lokasi ‘fokal’ dalam filem ini.
Mungkin itu cara pengarah untuk menarik orang ramai menonton INS3. Barangkali ingin memberi kesedaran tetapi dengan cara yang sinis.
Satu aspek yang penulis suka ialah apabila filem ini memperjuangkan isu pendidikan dalam kalangan kanak-kanak sebagai intipati utama tetapi disesuaikan dengan perkembangan semasa era digital.
Dilema yang dihadapi kanak-kanak dan ibu bapa dalam isu pendidikan diolah dengan berkesan dalam naskhah ini termasuk babak menghafal kamus dan novel bahasa Inggeris serta tekanan setiap kali minggu peperiksaan.
Watak Wen Ting, seorang ibu dari Shanghai, China yang sanggup membawa anaknya, Zi Hao berpindah ke Singapura demi mendapatkan sistem pendidikan yang lebih bermutu diterjemahkan dengan cemerlang oleh Hu Jing.
Paling menyentuh perasaan ketika babaknya dan Zi Hao terpaksa berpindah ke rumah flat kerana tekanan kos sara hidup di Singapura dan momen dia mengetahui anaknya mempunyai masalah disleksia.
Bukan hanya Hu Jing, watak Sophia ternyata berjaya mencetuskan rasa benci dan marah audiens.
Masakan tidak, ketaksubannya untuk memastikan Jayden sentiasa mendapat tempat pertama memang ‘gila’ termasuk merotan anak dan memaksa anaknya melakukan apa sahaja agar tidak ditewaskan oleh pelajar lain.
Tanpa sedar, setiap watak yang digambarkan sememangnya hidup wujud dalam persekitaran kehidupan kita semua.
Secara sinikal, Jack berjaya memberi tamparan realiti terhadap ibu bapa yang menggunakan pendekatan sebegitu dalam mendidik anak-anak sedangkan, hidup ini terlalu banyak pilihan indah. – HIBGLAM