Pengarah M Jamil kahwin kali keempat 2 tahun selepas kematian isteri

SELEPAS mengalami serangan angin ahmar sejak enam tahun lalu, pengarah M Jamil, 59, dikhabarkan berada dalam keadaan baik selain dijaga oleh isterinya baharu.

Menurut anaknya pelakon Sadiq Jamil, 26, bapanya, M Jamil atau Mohmad Jamil Zulkifli mendirikan rumah tangga buat kali keempat pada 2016 iaitu dua tahun selepas kematian ibunya.

“Alhamdulillah ayah saya sihat, tetapi mengalami strok sejak enam tahun lalu. Dia kini dijaga oleh mak tiri.

“Dia mengalami serangan strok selepas kami mengemas untuk pindah rumah. Mungkin kerana terlalu letih, secara tiba-tiba dia mengalami serangan jantung.

“Tidak dinafikan ayah juga seorang perokok dan mengalami masalah penyakit kronik lain seperti kencing manis yang berkemungkinan menjadi punca serangan strok.

“Pergerakannya mungkin sedikit terbatas kerana dia kini bergantung kepada kerusi roda,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana drama X-Change di sebuah pusat beli-belah di ibu kota semalam.

Mengulas mengenai perkahwinan keempat bapanya, Sadiq memberitahu, dia dan ahli keluarga yang lain tidak mempunyai sebarang masalah.

“Selepas ibu saya meninggal ketika saya di tingkatan dua iaitu pada 2014, ayah kemudian berkahwin kali keempat dua tahun selepas itu.

“Alhamdulillah saya tiada masalah dengan ahli keluarga yang lain dan sangat gembira serta menyayangi keluarga saya ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sadiq turut memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan isteri pertama bapanya.

“Sejujurnya isteri pertama saya tidak pernah jumpa, isteri kedua pula saya anggap seperti ibu saya sendiri.

“Ketiga ialah ibu saya yang sudah meninggal dunia dan keempat ibu baru saya iaitu ibu tiri. Keadaan kami semua baik dan tiada masalah

“Hubungan kami adik-beradik baik dan sentiasa berhubung antara satu sama lain termasuk membantu menyediakan keperluan bapa memandangkan dia sekarang tidak bekerja,” ujarnya.

Jamil yang juga anak kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad itu sudah berkahwin sebanyak empat kali, tetapi perkahwinan dengan isteri pertama dan kedau berakhir dengan penceraian manakala ketiga meninggal dunia.

Untuk info, filem Momok The Movie antara karya arahan Jamil selain pengarah itu memiliki 11 orang anak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok