Penganjur acara Good Vibes Festival menyaman kumpulan muzik Britain, The 1975 sebanyak £1.9 juta (RM11.25 juta), setahun selepas kontroversi yang ditimbulkan oleh penyanyinya, Matthew Healy, lapor laman berita Pitchfork.
Future Sound Asia memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Tinggi United Kingdom dengan mendakwa bahawa kumpulan itu sengaja melanggar undang-undang negara meskipun selepas diberikan beberapa peringatan.
Antara garis panduan ketika berada di atas pentas adalah larangan mengeluarkan kata-kata kesat, merokok, minum minuman keras, menanggalkan pakaian dan bercakap tentang isu politik atau agama, lapor Variety.
Garis panduan lain secara khusus mengharamkan ciuman.
Tuntutan saman itu menyatakan bahawa The 1975 dianggap tidak membuat persembahan sebaliknya memutuskan untuk memprotes peraturan berkenaan dengan memainkan senarai lagu berbeza serta mengingkari garis panduan dengan sengaja.
Ia termasuk ucapan provokatif Healy, ciuman dan ‘pelukkan ghairah yang dibuat-buat dengan lama’ ke atas seorang lagi anggota kumpulan itu, Ross MacDonald.
Future Sound Asia memfailkan permintaan ganti rugi pada tahun lepas melalui firma guaman, Steven Thiru & Sudhar Partnership, yang memetik perjanjian bertulis Healy bahawa kumpulan itu akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan tempatan.
Ia menambah dalam satu kenyataan pada masa itu: “Tindakan mereka (The 1975) memberi kesan kepada artis dan perniagaan kecil tempatan yang bergantung pada festival itu untuk peluang kreatif dan mata pencarian mereka”. – AGENSI