PENDEDAHAN terkini perobohan rumah agam Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini oleh pemilik baharu lot tanah bernilai tinggi mengundang pelbagai reaksi netizen, terutama yang membesar dengan lagu penyanyi popular itu.
Kesal dengan penjualan dan perobohan kediaman tersebut, khalayak mencadangkan segala memorabilia hasil kerja seni Sharifah Aini sepanjang lebih lima dekad bergelar penghibur diabadikan dalam sebuah galeri peringatan.
Biarpun sudah terlambat apabila banglo berkeluasan 20,000 kaki persegi tersebut sudah tinggal longgokan batu apabila kerja memecahkan struktur binaan sudah dijalankan sejak dua bulan lalu, peminat tetap menzahirkan impian mereka untuk diberi perhatian.
Patut dijadikan muzium kenangan Biduanita Negara macam Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ada muzium,” komen seorang peminat.
“Kerajaan kenapa tak buat muzium buat tatapan generasi masa depan macam rumah P Ramlee. Sayangnya,” tulis netizen.
Ketika hayat arwah selalu jemput anak tahfiz untuk majlis ilmu, alangkah indahnya dijadikan pusat ilmiah,” tulis seorang lagi pengikut laman sosial HibGlam.
Begitupun, ada dalam kalangan penggemar muzik menyarankan barangan peribadi yang masih disimpan warisnya dapat ditempatkan di sebuah premis lain sebagai galeri untuk tatapan umum.
Semalam HibGlam melakukan tinjauan di tapak banglo yang kini dalam fasa membersihkan sisa binaan lama sebelum projek mendirikan asas bangunan komersil pula dimulakan.
Pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata dia hanya tahu kerja merobohkan dan mengangkut sisa rangka rumah sudah dimulakan sekitar dua bulan lalu.
Begitupun, dia tidak mengetahui tarikh kerja pembinaan asas bangunan baharu dijadualkan bermula memandangkan sehingga kini kerja pembersihan masih berjalan.
Masih ada pekerja datang bersihkan kawasan dalam. Bulldozer (jengkaut) pun ada lagi belum bawa keluar.
“Saya tak tahu nama pembeli tanah ini, semua ada tulis pada bahagian dalam,” katanya ketika ditemui HibGlam.
Begitupun, petugas tersebut tidak membenarkan wakil HibGlam memasuki kawasan yang sedia bertutup zink hijau itu atas arahan majikan.
Terdahulu, kediaman dilengkapi sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, lima ruang tamu, sebuah dewan dan dua dapur seperti diiklankan sebuah syarikat hartanah mula dimasukkan di pasaran sekitar 2018.
Ketika itu dikatakan harga jualan RM8 juta, namun tidak dapat dipastikan tawaran diajukan pembeli kepada waris Allahyarham iaitu anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, 42.
Kediaman penghibur ikonik yang mula dicungkil bakat menerusi Bintang RTS di Singapura pada 1968 sebelum disunting EMI Malaysia setahun kemudian menyimpan 1,001 kisah kejayaannya dalam lapangan seni.
Legenda yang menghembuskan nafas terakhir pada 5 Julai 2014 itu menjadikan ‘syurga’ tersebut sebagai medan pertemuan dengan rakan selain gelanggang bagi majlis ilmu apabila kerap mengundang anak-anak tahfiz.
Sepanjang karier seni, pemilik nama lengkap Sharifah Aini Syed Jaafar yang diberikan pelbagai gelaran dek kemerduan vokal pernah menghasilkan lebih 140 album selain meraih ratusan anugerah termasuk Penghibur Terbaik Asia 1975 serta Biduanita Negara pada 2006. – HIBGLAM