LAMA kelibat anak seni bernama Aqasha tidak kelihatan menghiasi skrin televisyen mahupun layar perak.Situasi tersebut diperakui ramai termasuk dirinya sendiri.
Biarpun begitu, Aqasha atau nama sebenarnya, Firdee Akassya Rosli, 41, tetap aktif memenuhi undangan nyanyian secara tertutup.
Sama juga dengan lakonan apabila setelah sekian lama, dia muncul dengan naskhah berjudul Nafsu menerusi platform penstriman Viu.
Membawakan watak sebagai ketua ajaran sesat bernama Gusti, karakter tersebut menjemput pujian ramai.
Aqasha pula cabaran tersendiri dalam menterjemah karakter tersebut.
Bagi Aqasha sendiri watak tersebut memberikan satu pengalaman baharu buat dirinya selain menggelarkan Gusti sebagai ‘super antagonis’.
“Saya yakin semua pelakon pasti mempunyai hasrat untuk melakonkan watak yang memiliki kuasa luar biasa. Sama ada boleh terbang atau bercakap dengan ikan, sememangnya ini adalah watak yang saya nantikan selama ini.
“Sebagai seorang yang bergiat lama dalam industri, saya sudah menonton banyak filem pelbagai genre. Jadi saya mengambil sedikit daripada beberapa filem itu untuk mewujudkan Gusti.
“Bagi memperlihatkan watak itu lebih hidup, saya banyak mendengar nasihat daripada pengarah dan penulis skrip mengenai gambaran mereka terhadap watak Gusti.
“Dengan itu, saya cuba mengadunkan segala intipati yang ada untuk menjadikan watak Gusti itu dramatik sekali gus bersesuaian dengan kreativiti yang sudah saya tonjolkan,” ujarnya.
Tidak hanya bercerita mengenai drama baharunya itu, Aqasha turut berkongsi pandangan mengenai kebanjiran bakat sekarang dan luahan terhadap lapangan industri hiburan masa kini.
Katanya, peralihan teknologi semasa yang lebih cenderung ke arah digital membuatkan pelakon lebih tertarik untuk menjadikan platform media sosial sebagai medium rujukan.
Bukan sekadar medan untuk ‘menjual diri’ kepada peminat, tetapi aplikasi digital terbabit secara tidak langsung membuatkan mereka kurang berinteraksi atau berguru dengan mereka selayaknya.
“Saya sangat menghargai kehadiran wajah baharu dalam industri kerana saya dahulu pun pernah berada di posisi sama. Pada pandangan saya, cara untuk mengembangkan kreativiti sebagai pelakon itu adalah menerusi pergaulan dan cara bertukar idea di set.
“Tetapi berbeza dengan masa kini apabila mereka lebih cenderung terhadap media sosial. Mungkin zaman saya dahulu lebih konvensional, pelakon baharu akan kerap bertanya, berkogsi nasihat dan pengalaman dengan pelakon senior.
“Begitu juga ketika awal pembabitan saya sebagai pelakon apabila banyak menerima latihan dan pengalaman berguna secara langsung daripada pelakon lama.
“Sama juga seperti di sekolah atau di mana-mana, kita perlu ada guru yang betul untuk belajar. Tetapi di zaman serba canggih ini, semua perkongsian boleh dibuat di media sosial.
Mungkin saya agak ‘old school’ (gaya lama), kerana bagi saya hubungan kemasyarakatan ini penting untuk kita lebih faham mengenai sesuatu perkara,” jelasnya.
Aqasha turut tidak menafikan ada sebilangan pelakon baharu yang mudah hilang fokus tentang tujuan mereka menceburkan diri dalam industri lakonan.
Ujarnya, seseorang pelakon itu perlu mempunyai matlamat yang kukuh dan semangat untuk memartabatkan kesenian kepada masyarakat.
Ini sekadar pandangan saya. Ada pelakon baharu yang berul-betul minat dengan industri ini dan ada juga untuk menangguk di air keruh. Ada juga yang hendak mencari populariti termasuk meluaskan jaringan kenalan mereka.
“Dalam apa jua bidang yang diceburi kita perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bersesuaian dengan kehendak pasaran.
“Kita perlu lebih peka kerana setiap apa yang dilakukan bukan sekadar bersesuaian dengan mentaliti pemikiran masyarakat, tetapi juga memberikan kebaikan kepada manusia sejagat,” kata bintang filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.