‘Panas baran hanya dalam drama, di rumah penyayang’

PELAKON Shukri Yahaya menegaskan dia bukan lelaki bersifat panas baran seperti watak yang sering dilakonkannya dalam beberapa drama sebelum ini.

Menurut Shukri atau nama penuhnya Mohd Shukri Yahaya, 36, karakternya di rumah terutama bersama keluarga adalah berbeza daripada yang dipaparkan dalam televisyen.

Saya bukan lelaki begitu, di rumah perwatakan berbeza. Di rumah saya lembut sahaja dengan isteri.

“Saya pun tak tahu kenapa orang suka tengok saya melakonkan watak lelaki panas baran dalam drama sedangkan realitinya bukan begitu pun,” katanya kepada HibGlam pada sesi fotografi drama terbaharunya, Hai Cinta, Dengarkanlah baru-baru ini.

Meskipun kerap menjayakan watak lelaki panas baran, Shukri bagaimanapun tidak pernah meletakkan sebarang limitasi atau menolak untuk melakonkan karakter sebegitu pada masa akan datang.

“Saya terima sahaja kalau ada tawaran watak sebegitu dan tidak selektif pun.

Adakalanya, saya tetap akan bertanya kepada pengarah tentang tahap panas baran watak tersebut, adakah akan ada sampai pecah kepala atau tidak tetapi okey sahaja jika nak lakonkan watak sebegitu ,” katanya lagi.

Menurut Shukri lagi, memilih watak bukan caranya sebaliknya sebagai pelakon dia bertanggungjawab menghidupkan setiap karakter yang ditawarkan.

“Saya tidak memilih drama mahupun watak. Apa sahaja naskhah yang saya dapat, itu tanggungjawab saya.

Kalau orang cakap saya ada ambil naskhah yang kurang menarik, sebenarnya itulah tugas kita untuk menampakkan karya itu bagus,” katanya lagi.

Sebelum ini, antara drama yang pernah dilakonkan Shukri sebagai lelaki panas baran ialah Andai Itu Takdirnya dan Andainya Takdir. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok