Pameran HYBE INSIGHT The Daydream Believers yang berkongsi pengalaman belakang tabir tujuh kumpulan popular K-pop kini sudah berlangsung di Lalaport Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak 1 Julai lalu.
Pameran yang menampilkan potret 54 artis daripada tujuh kumpulan tersebut akan berlangsung sehingga 1 September yang dibuka pagi pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yes Travel & Holidays Sdn Bhd, Angela Mak Shau Kwan berkata, pameran berkenaan memberikan manfaat dari segi pertukaran budaya dan meningkatkan ekonomi negara.
“Kami berbangga dapat terbabit sebagai penganjur tempatan bagi pameran yang mempamerkan tujuh kumpulan artis berbakat di bawah label HYBE.
“Pameran ini bukan sahaja untuk meraikan pencapaian dan impian mereka tetapi juga memupuk pertukaran budaya antara Korea dan Malaysia.
“Bekerja dalam industri pelancongan memberikan kami perspektif untuk membawa pelawat masuk dan keluar dari negara yang berbeza, dan kami melihat peluang besar untuk pertukaran budaya melalui pameran ini. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan ekonomi pelancongan Malaysia dan dengan acara ini,” katanya.
Pameran yang sebelum ini diadakan di Korea, Jepun dan Taipei tersebut merungkai kisah tujuh kumpulan K-Pop di bawah label HYBE iaitu BTS, Seventeen, Tomorrow X Together, Enhypen, Le Sserafim, fromis_9 dan &TEAM.
Kesemua gambar artistik, pakaian selebriti dan penceritaan belakang tabir kesemua bintang popular K-Pop.
Selain itu, pameran tersebut bakal menawarkan peminat K-pop pengalaman komprehensif yang akan membantu mereka mengetahui kisah hidup idola dengan lebih jelas.
Lebih menarik, pameran ini mempunyai ruang pameran yang menampilkan zon foto yang luas untuk merakamkan detik-detik menerusi foto dan juga jualan barangan eksklusif.
Bagi yang berminat untuk hadir ke pameran boleh membuat pembelian tiket di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM138. – HIBGLAM