Nyanyi 1 lagu di Olimpik Paris, Celine Dion dapat RM9 juta

KEBERADAAN Celine Dion di Paris sejak beberapa hari lalu menguatkan spekulasi kemunculan penghibur itu di upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 pagi Sabtu ini.

Portal media TMZ melaporkan penyanyi berusia 56 tahun itu mendaftar masuk di hotel mewah Royal Monceau di ibu negara Perancis itu pada Isnin lalu.

Lebih membuatkan ramai teruja apabila desas-desus yang bertebaran turut menyebut sebanyak AS$2 juta atau RM9.34 juta diberikan kepadanya untuk membawakan satu lagu pada temasya sukan terbesar dunia itu.

TMZ turut memaklumkan penyanyi yang terkenal dengan lagu My Heart Will Go On itu kini bertambah sihat selepas berjuang melawan penyakit sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS).

Sebelum ini dia pernah memaklumkan memasang impian untuk kembali ke kota cinta itu bagi melihat semula Menara Eiffel.

Begitupun, belum ada pengumuman rasmi namun Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencadangkan nama Celine ketika majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pasa 24 Julai lalu.

Terdahulu, Dion yang berasal dari Kanada adalah antara penyanyi berbahasa Perancis paling terkenal sepanjang zaman namun tidak dapat membuat persembahan selama bertahun-tahun berikutan menghidap penyakit autoimun.

Celine terpaksa melupakan seketika karier nanyiannya pada 2022 selepas didapati menghidap penyakit jarang berlaku Sindrom Stiff Person yang turut didedahkan dalam dokumentari videonya I Aam: Celine Dion.

Namanya juga bukan asing dengan temasya Olimpik apabila sebelum ini menyanyikan lagu The Power Of The Dream pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 yang disaksikan 3.5 bilion penonton seluruh dunia.

Sementara itu, seorang lagi penyanyi terkenal iaitu Lady Gaga juga turut dilapor bakal sepentas dengan Celine apabila menginap di hotel Royal Monceau. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok