Nak kongsi keindahan Mekah, bukan menunjuk-nunjuk – Eyka Farhana

DIKRITIK terlalu menunjuk-nunjuk sepanjang menunaikan ibadah umrah, pelakon Eyka Farhana tampil mempertahankan diri dengan menegaskan hanya mahu berkongsi keindahan Mekah.

Eyka atau nama lengkapnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, 29, berkata, sebelum ini dia pernah berkongsi foto di luar negara tetapi tidak mendapat reaksi negatif seperti ketika berada di Tanah Suci Mekah.

“Ada yang kata kalau pergi ke Tanah Suci tak perlu muat naik sebarang gambar atau apa-apa.

“Ya Allah, kenapa tidak boleh muat naik kalau nak tunjuk betapa indahnya Tanah Suci.

“Kalau kita bercuti ke negara lain10 kali kongsi foto pun tiada masalah,” katanya menerusi Threads.

Dalam masa sama, pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu turut memaklumkan perkongsian tersebut dibuat dengan niat mengajak orang ramai berkunjung ke  Mekah yang cantik dan mendamaikan.

“Niat kita hanyalah nak tunjuk keindahan bumi Mekah dan Madinah, dalam masa sama dapat juga sedikit sebanyak ajak yang lain untuk ke sini dengan izin-Nya,” jelasnya.

Eyka berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah bersama adiknya, Dyba Farhana pada 14 Julai lalu.

Selain bersyukur dengan pengalaman yang diperoleh sepanjang umrah, anak jati Selangor itu turut menyimpan hasrat untuk membawa seluruh ahli keluarganya ke Tanah Suci. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok