Mujur saya tidak mudah tergoda – Zamarul Hisham

JIKA aktor seusianya kini lebih banyak melakonkan watak bapa, tetapi lain pula penangan aktor berkarisma, Zamarul Hisham apabila masih dihujani tawaran watak hero.

Agak pelik dan sukar mencari jawapan tepat. Zamarul yang sebenarnya tidak mengerti, mengapa situasi begitu terjadi kepadanya, namun dia hanya mampu bersyukur. Pada usia 50-an, dia masih berpeluang membawakan watak utama.

“Alhamdulillah pada usia 53 tahun saya masih diberi peluang untuk melakonkan watak hero bergandingan dengan artis-artis muda.

“Sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran drama 40 episod sebagai hero untuk saluran Astro Ria. Selepas itu saya akan teruskan penggambaran sebagai watak utama untuk drama yang akan ditayangkan dalam platform penstriman, Tonton.

“Saya pun sebenarnya tak tahu nak jawab macam mana jika ada orang tanya bagaimana saya masih menerima tawaran sebagai hero. Mungkin sudah rezeki saya,” kata aktor berusia 53 tahun itu.

ZAMARUL kini sedang menjayakan watak hero untuk drama bersiri 40 episod terbitan Astro.

Namun kata suami kepada Diana Rafar itu dia mempunyai satu amalan yang sering dilakukannya sebelum pergi ke tempat kerja iaitu berdoa di dalam kereta.

“Sebelum bergerak ke lokasi penggambaran, saya akan duduk di dalam kereta terlebih dahulu tanpa hidupkan enjin.

“Apa yang saya buat adalah saya akan berdoa berkali-kali sehingga saya rasa betul-betul ‘feel’ dan dapat. Sama seperti berlakon. Selagi saya tak ‘feel’ selagi itu saya akan berdoa.

“Kemudian barulah saya akan bergerak ke lokasi penggambaran. Mungkin disebabkan saya adalah seorang penghidap OCD (kecelaruan obsesif kompulsif),” kongsinya.

Ditanya apakah antara doa yang diminta, kata pelakon filem I Know What You Did Last Raya itu, doa yang selalu dipanjatkan adalah agar urusan kerjanya dimudahkan.

“Antara doa yang saya mohon adalah supaya dikurniakan penghayatan yang kuat dalam lakonan saya supaya orang yang melihat akan sukakan lakonan saya.

“Memang saya praktikkan amalan itu sejak mula ceburi lakonan hampir 30 tahun lalu. Jadi doa begitu sudah jadi sebati dalam diri,” ujarnya.

Memiliki wajah tampan dan sosok tubuh yang masih gagah, Zamarul akui sangat menjaga penampilan.

DIANA banyak mendorong Zamarul dalam soal penampilan diri.

“Kalau tengok janggut saya ini sekarang berwarna hitam, tetapi sebenarnya sudah putih. Isteri saya pakaikan maskara supaya jadi hitam. Kalau nak pakai pewarna agak pedih.

“Sebelum ini saya tidak terlalu menjaga penampilan. Sehinggalah satu hari berat badan saya mencecah 85 kilo gram. Ketika itu saya sedang mencuci kolam renang di rumah dan Diana ambil gambar saya.

“Ketika hendak makan malam, dia tunjukkan gambar itu dan bertanya, adakah saya kelihatan okey dengan keadaan itu?

“Ketika itu saya tersentak sehingga tak lalu nak makan selepas tengok gambar sendiri. Sejak itu saya mula menjaga penampilan,” kongsinya.

Sudah namanya pelakon popular dan memiliki wajah memikat, Zamarul tidak terkecuali daripada dikejar peminat wanita obses, malah ada anak dara yang cuba untuk mendekatinya biarpun mengetahui dia suami orang.

“Perkara sebegini tak boleh nak elak. Dugaan itu sentiasa ada tak kisah sama ada bujang mahupun sudah berkahwin.

“Mujur saya bukan seorang yang mudah tergoda.

“Tetapi saya pelik zaman sekarang ramai yang suka suami dan isteri orang. Kalau buka ruangan mesej dalam Instagram, ramai wanita yang mesej.

“Saya pula jenis seminggu sekali baru buka Instagram. Kadang-kadang Diana yang tolong balas. Dia tahu kata laluan akaun media sosial saya dan juga akaun bank,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok