KECOH sebelum ini desas-desus bakal mengikat tali pertunangan dengan Aliff Aziz, pelakon Ruhainies membuat pencerahan dengan menegaskan perkara itu tidak mungkin berlaku.
Kata Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, pelbagai dakwaan palsu mengenai dirinya bertebaran dalam media sosial sehingga mencetuskan salah faham netizen.
Tak akan berlaku (bertunang). Tak adalah, hal itu pun (penyebaran berita pertunangan) merepek. Makin lama makin merepek.
“Saya pun tak tahu siapa yang mulakan benda itu. Tiba-tiba media jadikan bahan berita. Saya rasa sedihlah kerana berita tak sahih dikeluarkan,” katanya kepada HibGlam.
Ruhainies berkata demikian ketika ditemui selepas sebutan kes khalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya respons terhadap sindiran dan tuduhan bekas isteri Aliff, Bella Astillah yang mendakwa dirinya sebagai perosak rumah tangga, Ruhainies hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
Menurut pelakon drama Menantu Tingtong itu, perkara tersebut dianggap tidak relevan untuk dijawab buat masa ini kerana fokusnya sekarang adalah menyelesaikan isu kes khalwat yang dijalankan pada hari ini.
Soalan ini terlalu berat. Kes hari ini melibatkan kes khalwat, kalau boleh saya memang tak nak sentuh mengenai isu itu.
“Insya-Allah kita jawab pada masa yang sesuai nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhainies tidak menafikan selagi kes khalwat dan kontroversi yang melanda dirinya ini belum selesai, perkara tersebut sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.
Tentulah rasa terganggu. Saya pun manusia biasa,” katanya.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan hakim atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Terdahulu pada 20 Jun lalu, kedua-dua pelakon terbabit dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Kehadiran mereka berdua dipercayai atas tujuan lanjutan bon jamin berkenaan kes tangkap khalwat pada Mac lalu.
Pada 9 Mac lalu, nama Ruhanies menjadi bualan hangat selepas dia dan Aliff ditangkap berkhalwat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara. – HIBGLAM