TIDAK sampai sebulan bergelar suami kepada model jelita, Bay Doucet, pelakon dan pengacara popular Sean Lee mengakui menyesal tidak mengambil cuti yang panjang untuk meraikan perkahwinannya tempoh hari.
Menurut Sean Lee atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern, 30, selepas majlis perkahwinannya pada 7 Julai lalu, dia dan isteri langsung tidak berkesempatan berbulan madu kerana kepadatan jadual kerjanya.
“Saya menyesal sebenarnya tidak ambil cuti yang panjang untuk berbulan madu selepas berkahwin.
“Sekarang baru saya rasa perasaan manis, bahagia dan sentiasa ingin menghabiskan masa bersama dengan isteri. Baru saya faham sekarang kehangatan lepas berkahwin itu masih ada (ketawa).
Sebabnya saya hanya mengambil cuti selama dua hari sahaja untuk perkahwinan. Itu pun diisi dengan pelbagai agenda majlis perkahwinan, selepas itu saya terus bekerja, tiada langsung masa untuk bercuti dengan isteri,” kata Sean.
Sungguhpun begitu, Sean tidak menyalahkan mana-mana pihak memandangkan dia sendiri memutuskan untuk merahsiakan perkahwinan tersebut. Atas sebab itulah, jadual kerjanya harus berjalan seperti biasa.
“Saya tidak boleh salahkan orang lain sebab tiada orang tahu saya akan berkahwin pada tarikh tersebut,” jelasnya lagi yang bercinta secara sembunyi selama lapan tahun sebelum berkahwin.
Tidak mahu ketinggalan mencipta memori manis bersama isterinya, Sean merancang untuk berbulan madu di Eropah pada penghujung tahun ini.
“Saya merancang untuk bercuti hujung tahun ini, boleh dikira sebagai bulan madu kami. Lokasi impian saya adalah Eropah dan saya mahu percutian kembara secara backpacker.
“Bagi saya percutian secara backpacker lebih menyeronokkan dan boleh mencipta banyak memori, bayangkan jika kami tersesat bersama? (ketawa).
“Perkara seperti itu yang akan lebih mengeratkan hubungan kami,” luah Sean.
Biarpun tidak sempat berbulan madu dek kepadatan jadual kerjanya, bintang drama Kiblat Ke Syurga itu bersyukur kerana rezekinya semakin mencurah-curah.
“Saya percaya tentang rezeki selepas berkahwin. Pada waktu saya sibuk hendak berkahwin saya mendapat tawaran sebagai pengacara program Gimme The Mic bersama Sherry Alhadad.
“Setiap minggu saya akan muncul dalam televisyen, saya juga baru mendapat tawaran lakonan untuk filem pertama. Judul masih dirahsiakan, apapun ini orang kata rezeki lepas berkahwin,” ujarnya.
Bercakap tentang cahaya mata dalam kekecohan trend perkahwinan bebas anak atau child free, Sean dan isteri sememangnya mengimpikan untuk memiliki anak sendiri.
Namun, sedar akan tanggungjawab yang begitu besar harus dipikul sebagai ibu bapa, Sean mahu memiliki anak dalam keadaan bersedia.
“Kami memang inginkan anak sendiri. Tetapi kita masing-masing faham dengan situasi kerja yang sibuk pada masa sekarang.
“Jujur, untuk ada anak bukan satu benda yang ringan. Anak adalah satu tanggungjawab yang besar, tidak boleh mahu ada anak selepas itu tidak boleh untuk jaga.
“Bagi saya perkara itu tidak betul. Jadi, kami tidak mahu beri tekanan kepada diri masing-masing. Buat masa ini nikmati kehidupan berdua semaksima yang mungkin sebelum kami memutuskan untuk ada anak pada masa depan,” kata Sean. – HIBGLAM
caption:
SEAN sengaja memilih merahsiakan perkahwinannya baru-baru ini.