RASA macam tiada (gaduh dengan aktor) sebab sepanjang di set saya berkawan dengan semua orang.”
Demikian respons pelakon Hun Haqeem mengenai dakwaan bermasam muka dengan seorang pelakon lelaki sehingga mencetuskan suasana tegang ketika menjayakan penggambaran sebuah drama, baru-baru ini.
Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy, 26, menafikan spekulasi terbabit dengan memaklumkan sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua rakan pelakon demi membina keserasian di set penggambaran.
Kita akan cipta keserasian dalam set. Saya percaya orang yang pernah bekerjasama dengan saya akan cakap benda sama.
“Pada akhirnya, kita bukan berkarya seorang diri tetapi bersama ramai orang,” katanya kepada HibGlam semasa tayangan episod akhir mini siri Ke Kodiang With Love baru-baru ini.
Tambah pelakon drama W: Two World itu, kalau pun benat ada situasi dingin mungkin berpunca daripada penat bekerja sehingga ada yang salah faham.
“Sejujurnya, saya tidak pernah rasa begitu. Ini pertama kali saya dengar. Mungkin terjadi semasa saya tengah bekerja dan tidak sempat beramah mesra dengan semua orang.
Mungkin sewaktu itu saya masih sibuk ataupun tidak cukup tidur. Semua itu boleh bagi kesan kepada sesetengah orang. Kalau ada yang terasa, saya minta maaf.
“Macam saya cakap, setiap kali buat sesuatu atau berkarya, saya cuba kurangkan drama sebab kita harus menghormati kru yang tidak tidur malam,” ujarnya.
Ditanya sama ada pernah berdepan konflik dengan sesama rakan artis sebelum ini, Hun menegaskan dia dikelilingi individu yang baik dan sering menasihatinya baik dalam soal kerjam mahupun kehidupan.
Tidak, saya tak pernah ada konflik. Setakat ini saya sangat beruntung dikelilingi rakan kerja yang baik.
“Mereka sering membantu dan tidak lokek ilmu. Saya tidak akan berada di sini kalau bukan sebab mereka,” jelasnya. – HIBGLAM