SEBELUM datang ke Malaysia, saya tidak membuat sebarang pencarian di internet kerana ingin menikmati sendiri pengalaman pertama kali menjejakkan di sini.”
Begitu reaksi selebriti antarabangsa Selina Lo apabila dia berpeluang mengembara bersama teman baiknya, Justin Bratton dalam siri kandungan digital, Unfading Memoirs.
Bersiaran di saluran AXN Asia bermula 11 Julai lalu, program tersebut dikendalikan oleh pengacara Erwan Heussaff melibatkan beberapa lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Kata Selina, keindahan flora dan fauna yang ada di Malaysia membuatkan dia terpesona di samping keunikan budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Baginya, bukan sahaja latar belakang sejarah, malah variasi hidangan yang menarik turut menjadi tarikan pelancong.
Saya sangat teruja apabila berpeluang mempelajari tentang latar belakang sejarah Malaysia di Cultural Village Pulau Pinang.
“Bukan sahaja mengetahui tentang budaya, saya juga berpeluang merasai hidangan yang dimasak di dalam buluh.
Kawasan persekitaran yang menarik dan masyarakat setempat yang ramah, membuatkan saya tidak berasa canggung di sini.
“Mereka melayan saya seperti sahabat dan sangat terbuka menerima kehadiran pelancong.
Pada saya, itu yang menjadi tarikan dan keberuntungan orang ke negara ini,” ujarnya dalam satu sesi temu bual dalam talian baru-baru ini.
Dalam pada itu, Selina berkata, dia berdepan dengan cabaran cuaca sepanjang berada di Malaysia.
Masakan tidak, dia yang menetap di negara empat musim United Kingdom (UK) tentu sahaja mengalami ‘kejutan budaya’.
“Awalnya agak sukar untuk membiasakan diri kerana saya tidak biasa menjalani hari yang panas.
Namun, saya faham begini cuaca di negara Hutan Hujan Tropika. Jadi saya banyak minum air kerana mengalami dehidrasi.
“Memang agak sulit untuk saya kerana tidak biasa, tetapi pada saya semua baik-baik sahaja kerana cuaca begini membantu melancarkan proses penggambaran,” jelasnya.
Melanjutkan cerita tentang pengalaman di sini, Selina berkata, dia sanggup mencabar diri dengan menyelam ke dasar laut meskipun tidak mempunyai kemahiran berenang ketika berkunjung ke Sabah.
Malah, dia juga mengakui bukan seorang yang gemar melakukan aktiviti sebegitu termasuk berasa gayat di tempat tinggi.
Pengalaman menyelam di dasar laut itu agak mengerikan. Awalnya, Bratton mengatakan paras air tidak terlalu dalam dan saya boleh berdiri untuk naik ke permukaan.
“Dia berkata begitu kerana saya takut untuk melakukan aktiviti itu. Tentu sahaja kerana saya tidak pandai berenang, takut dengan tempat tinggi, tidak pandai memandu dan tidak tahu menunggang basikal.
Ketika menyelam saya hanya bergantung kepada Bratton sahaja. Saya juga dipakaikan dengan topi keselamatan khas bagi memudahkan untuk bernafas dan melihat di dalam air.
“Sebaik sahaja masuk ke dalam laut, saya dapat mendengar bunyi air yang agak kuat dan menakutkan. Perlahan-lahan kami menyelam sehingga saya berpeluang bertemu dengan Nemo (clownfish),” ujarnya.
Selain aktif dalam bidang pengacaraan, dia juga bergelar bintang filem dan telah beberapa kali muncul dengan naskhah layar perak seperti Winter Dream, Hellraiser, The Scorpion King 3: Battle for Redemption dan Time Rush.
Jadi tidak hairan jika Selina pernah bekerja dengan aktres kelahiran Ipoh, Perak dan juga pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Oscar 2023 iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dalam filem Boss Level.
Baginya peluang bekerjasama dengan pelakon ‘papan atas’ itu membuatkan dia lebih teruja dan kagum apatah lagi menyaksikan orang Asia mencipta nama di Hollywood.
“Michelle Yeoh merupakan ikon dan idola kepada banyak pelakon Asia lain. Kehebatan dia mencipta nama dalam industri hiburan memang tidak dapat dinafikan.
Jadi, peluang dapat bekerjasama dengannya satu pengalaman yang menyeronokkan, Kami banyak berbual dan dia juga memberikan nasihat serta sokongan kepada saya tentang dunia lakonan.
“Pada saya, dia merupakan kekayaan yang tidak terucap dan Malaysia beruntung mempunyai anak seni sepertinya,” katanya yang bakal muncul dalam siri The Lord of the Rings: The Rings of Power musim kedua mula bersiaran Ogos depan. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.