‘MAIS sudah terima kenyataan bertulis Ustaz Don Selasa lalu’

JAWATANKUASA Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan sudah menerima kenyataan bertulis Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berhubung fakta ceramah agama yang dilakukannya sebelum in.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, kenyataan bertulis pendakwah bebas itu telah diterima pada 9 Julai lalu.

Jawatankuasa tauliah telah terima pada hari Selasa baru-baru ini,” katanya ringkas ketika dihubungi HibGlam hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Shahzihan tidak mengulas lanjut ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil selepas menerima  kenyataan bertulis tersebut.

Sementara itu, pengurus Don Daniyal, Anna turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghantar dokumen yang diminta kepada JAIS.

Kami sudah menghantarnya. Selebihnya boleh bertanyakan kepada pihak JAIS, terima kasih,” ujarnya.

Sebelum ini nama Don Daniyal ‘panas’ berikutan kontroversi kandungan ceramah sirah nabi.

Susulan itu, pada 21 Jun lalu, JAIS mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid dan surau untuk menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal untuk sebarang acara.

Kemudian, pada 27 Jun lalu HibGlam melaporkan Don Daniyal diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi ­kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Langkah tersebut dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok