‘Mahu yang dapat sempurnakan agama dan kekurangan saya’

TIGA tahun solo tanpa kekasih, penyanyi juga pelakon Kilafairy selesa bergelar wanita bujang.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 32, berkata, dia belum bersedia untuk menerima kehadiran kekasih baharu setelah beberapa kali melalui pengalaman putus cinta.

Masih ada beberapa kesan (kekecewaan) dan kalau boleh saya tidak mahu lagi melalui perkara sama.

“Saya gembira menjalani kehidupan bujang dan tidak terfikir untuk berumah tangga dalam tempoh masa terdekat.

Jika ingin berkahwin, kalau boleh saya inginkan pasangan yang dapat menyempurnakan agama dan kekurangan saya,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon drama Realiti Cinta itu turut menyatakan ada beberapa jejaka cuba mendekatinya, namun dia belum bersedia menjalin hubungan istimewa.

Tambahnya lagi, keluarga juga tidak mendesak untuk dia segera berumah tangga meski telah menjangkau usia 30 tahun.

“Sepanjang tiga tahun solo, saya bebas dan tidak tertekan. Saya juga sentiasa meluangkan masa dengan orang terdekat dan tidak berasa sunyi.

Ada yang cuba mendekati dan saya tidak takut untuk bertemu dengan orang baharu, tetapi berkahwin atau menjalin hubungan secara serius itu mungkin tidak lagi.

“Saya senang bergerak sendiri dan keluarga juga tidak mendesak agar segera berumah tangga.

Ayah juga ada mengatakan tidak perlu terlalu tergesa-gesa dan serahkan segalanya kepada takdir. Saya juga percaya dengan rezeki dan tidak terlalu terburu-buru untuk berkahwin. Jika ada, adalah nanti,” katanya.

Terdahulu anak kepada penyanyi Allahyarham Rohana Jalil itu pernah menjalin hubungan dengan seorang lelaki bernama Sa’aid Umar Aiman yang dikenalinya sejak berusia 13 tahun. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok