MELETAKKAN sasaran berat badan turun sebanyak 10 kilogram demi kesihatan dan kecantikan, pelakon Abby Abadi kini gigih melakukan senaman selain mengamalkan gaya hidup sihat.
Tidak berseorangan, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, berkata, dia dibantu anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim yang sudah biasa bersenam agar dapat melakukan gerakan dengan betul.
“Cuba jadikan senaman sebagai rutin harian, terima kasih Danish (anak lelaki) untuk hari ini.
Jaga diri tau sahabat, kita ada target. Nak kurangkan berat badan untuk jaga kesihatan. Nak sihat, cantik, nak sekecil burung kedidi.
“Kena bersenam, kena jaga makan, kena buang toksin dalam badan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Lebih ramai lebih meriah, pelakon drama bersiri Gerak Khas itu menyeru sesiapa sahaja yang tinggal berhampiran untuk menyertainya aktiviti zumba bersamanya.
Sesiapa yang berdekatan Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Taman Melawati, Ampang dan sewaktu dengannya, jom zumba.
“Tak jumpa kawan nak ajak berzumba lagi ni, nak buang 10 kilogram lagi,” ujarnya.
Semakan menerusi ruangan komen, rata-rata netizen terpegun melihat perubahan fizikal bekas anggota Elite itu selain menyamakan ibu kepada enam anak itu seperti anak dara.
“Nampak kecil sikit Abby, betul kata orang, usaha tidak mengkhianati hasil,” komen seorang netizen.
Wah macam anak dara, memang nampak perubahan ketara, bilalah saya juga mahu ada semangat macam ini,” demikian komen seorang lagi netizen.
Selain Abby, ramai selebriti seperti Aina Abdul, Catriona Ross, Sherry Alhadad dan Man Raja Lawak mengambil langkah mengamalkan gaya hidup sihat demi menjaga kesihatan dan tampil lebih menarik. – HIBGLAM