Mahligai tak masuk akal bintang Hollywood

RAMAI manusia sememangnya mengimpikan kehidupan sempurna, memiliki rumah mewah dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk gimnasium, kolam renang dan panggung wayang persendirian.

Antara kerjaya atau profesion yang dikatakan mudah untuk mendakap semua kemewahan yang diungkapkan pada perenggan pertama adalah figura popular berstatus selebriti ‘papan atas’.

Kalau kena gaya dan kekal relevan dalam industri, terutamanya membina kemasyhuran di Hollywood, bukan sahaja kediaman biasa berupa banglo bahkan ada golongan yang sangat bertuah dengan rumah dimiliki sebesar stadium tidak terjangkau akal.

Menyelak kehidupan luar biasa tersebut, Gala minggu ini merangkumkan selebriti elit Hollywood dan kisah mahligai ‘syurgawi’ berharga juta-juta yang menjadi perbualan dunia.

RUMAH Lady Gaga yang terletak di Malibu, California.

LADY GAGA

Pemenang trofi Oscar dan 13 kali Grammy Awards, Lady Gaga memiliki sebuah rumah idaman yang terletak di Malibu, California.

Difahamkan, hartanah yang dibeli secara tunai pada 2014 oleh pelantun lagu Bad Romance itu berharga AS$23 juta (RM107 juta).

Mempunyai pemandangan indah dan berkeluasan 10,270 kaki persegi atas tanah lot 2.4 hektar itu, rumah idaman tersebut dilengkapi lima bilik tidur, tujuh bilik mandi dan menghadap Lautan Pasifik.

Seperti kediaman tipikal orang kaya termasuk para selebriti di Hollwyood, rumah Gaga dilengkapi dengan kolam renang, studio rakaman peribadi, sauna dan semestinya studio rakaman yang merupakan tempat dirinya mendapat ilham melahirkan banyak karya bermutu.

RUMAH agam Beyonce berharga AS$190 juta (RM886 juta)

BEYONCE

Bertempat di Malibu, California, Los Angeles, diva pop Beyonce memiliki rumah agam berharga AS$190 juta (RM886 juta) yang merupakan aset bersama dengan suami tersayang, Jay-Z.

Rumah tersebut berkeluasan 40,000 kaki persegi dan tanahnya seluas 3.2 hektar serta pemandangan banglo menghadap Lautan Pasifik.

Antara kemudahan yang terdapat di kediaman berbentuk ‘L’ pasangan itu, termasuklah kolam renang, panggung wayang gergasi dilengkapi eskalator dan studio rakaman peribadi.

KEDIAMAN Travis Scott yang dibeli secara tunai.

TRAVIS SCOTT

Rapper terkenal, Travis Scott memiliki sebuah rumah mewah dianggarkan bernilai AS$40 juta (RM187 juta) yang terletak di Brentwood, California.

Rumah tersebut berkeluasan 16,700 kaki persegi dan mendapat julukan ‘kapal layar moden’ daripada kalangan pentaksub rumah selebriti.

Difahamkan, rumah berkenaan dibeli secara tunai oleh pelantun lagu Sicko Mode itu dan antara yang luar biasa mengenai hartanah itu termasuklah dilengkapi panggung wayang ‘teater’ peribadi, gimnasium, sauna dan bilik permainan video serta bilik khas untuk menyimpan wine mahal memuatkan 650 botol wine dalam satu masa.

RUMAH Justin Bieber yang kelihatan seperti lapangan terbang berharga AS$36 juta (RM167 juta).

JUSTIN BIEBER

Merupakan antara bintang yang mengecapi kejayaan usia remaja, Justin Bieber juga antara manusia bertuah kerana dikurniakan kemewahan tidak berbelah bahagi.

Difahamkan, pelantun lagu Baby itu memiliki lebih daripada satu rumah mewah termasuk yang dibeli di AS dan negara kelahirannya iaitu Kanada.

Antara yang mencuri tumpuan media sebelum ini adalah rumah yang kelihatan seperti lapangan terbang pernah didiaminya berharga AS$36 juta (RM167 juta).

Ramai yang tidak ‘berkenan’ dengan rumah berkeluasan 7,500 kaki persegi tersebut kerana menurut mereka, aset itu tidak kelihatan seperti sebuah rumah meskipun nampak mewah, termasuk pemandangan yang menghadap bandar metropolitan, Los Angeles.

RIHANNA memilih sebuah rumah agam tersergam indah di Beverly Hills, California.

RIHANNA

Biarpun memegang status sebagai antara selebriti berstatus bilionair dunia, Rihanna antara bintang boleh dianggap sebagai merendah diri.

Dengan kekayaan yang dimiliknya hasil perniagaan kosmetik Fenty Beauty, pelantun lagu Diamond itu boleh sahaja membeli hartanah paling mahal di mana-mana tempat di dunia, namun dia memilih sebuah rumah agam tersergam indah di Beverly Hills, California.

Difahamkan, kediaman tersebut cuma berharga AS$13 juta (RM67 juta) yang memiliki lima bilik tidur dan tujuh bilik air termasuk master suite yang memuatkan semua wardrobe kegemarannya.

Mempunyai rekaan dalaman ‘classy’, rumah tersebut dilengkapi dengan kolam renang, gimnasium dan bar untuk dia bersama rakan-rakan rapat menghabiskan masa bersama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok