Luar biasa! 10 fakta perkahwinan termahal di dunia keluarga Ambani

BAGAIKAN menonton filem Crazy Rich Asian, itulah yang disifatkan netizen saat melihat majlis perkahwinan anak kepada individu terkaya di Asia iaitu Anant Ambani dan pasangannya Radhika Merchant yang gah berlangsung selama beberapa hari baru-baru ini.

Majlis perkahwinan mereka mendapat liputan luas dari seluruh dunia kerana dihadiri bintang-bintang ternama serta menelan perbelanjaan yang dikatakan tidak masuk akal.

MAJLIS perkahwinan gah pasangan mempelai yang dihadiri kenamaan dan bintang terkenal seluruh dunia.

Menjadi tradisi masyarakat India untuk berhabis meraikan majlis perkahwinan. tambahan pula Anant merupakan anak bongsu Mukesh dan Nita, merupakan pemilik empayar Reliance Industries yang memiliki jumlah kekayaan sebanyak RM552.6 bilion.

HibGlam senaraikan 10 fakta menarik tentang majlis perkahwinan gilang-gemilang ini.

Perkahwinan termahal dunia

Dikhabarkan kos majlis perkahwinan Anant adalah paling tinggi dalam kalangan adik-beradiknya dan kini menjadi perkahwinan termahal di dunia.

Menurut laporan yang disiarkan oleh The Sun, kos keseluruhan majlis tersebut bernilai RM2.9 bilion iaitu 15 kali ganda kos majlis perkahwinan putera diraja England, Harry dan Meghan Markle.

Jumlah itu hanyalah 0.5 daripada keseluruhan harta milik Ambani.

Persembahan penyanyi kelas A

Bukan calang-calang penyanyi yang diundang untuk membuat persembahan di majlis yang berlangsung selama empat bulan ini.

Penyanyi sensasi Rihanna dibayar RM38 juta untuk membuat persembahan di majlis pra perkahwinan yang berlangsung di Mumbai pada Mac lalu.

Katy Perry pula dibayar RM24.5 juta untuk majlis yang berlangsung di Italy manakala Justin Bieber meminta bayaran sebanyak RM48 juta untuk persembahan yang berlangsung di Mumbai beberapa hari sebelum majlis nikah.

Antara bintang lain yang turut membuat persembahan ialah Akon dan Backstreet Boys.

Tetamu VIP seluruh dunia

Selain dihadiri oleh bintang-bintang ternama Bollywood dan Tollywood, Ambani turut mengundang figura terkenal seantero dunia.

Antara yang dilihat ‘berkampung’ selama beberapa hari di India ialah Kim Kardashian, Khloe Kardashian, John Cena, Nick Jonas dan Priyanka Chopra.

Turut diundang, mantan Perdana Menteri England iaitu Tony Blair dan Boris Johnson. Mark Zuckerberg dan Bill Gates antara yang pernah menghadiri majlis pra perkahwinan beberapa bulan lalu. Hebat bukan?

Hadiah Mewah Untuk Tetamu

Sudahlah diberi layanan bertaraf lima bintang, tetamu yang hadir juga tidak pulang dengan tangan kosong.

Anant telah menghadiahkan rakan-rakannya termasuklah Shah Rukh Khan dan Ranveer Singh jam tangan mewah Audemars Piguet bernilai RM1.07 juta setiap satu.

Tetamu yang hadir juga mendapat beg tangan jenama Louis Vuitton, rantai emas serta busana rekaan pereka fesyen terkenal India sebanyak lima persalinan lengkap.

Tetamu dari luar negara pula diterbangkan khas menggunakan 100 jet peribadi dan ditempatkan di hotel lima bintang.

Selain itu, 1,000 buah bilik air mewah rekaan pereka terkenal turut dibina di lokasi perkahwinan untuk para tetamu yang bernilai RM5.8 juta. Memang luar biasa hebat layanan Anant buat tetamunya.

Busana mewah pereka fesyen terkenal dunia

Sewaktu majlis pra perkahwinan, Randhika telah menggayakan gaun yang direka rumah fesyen terkenal dari Itali iaitu Versace.

Dia turut dilihat menyarung busana rekaan pereka fesyen asal New York, Grace Ling sewaktu majlis pra perkahwinan di Itali.

Pada hari dia dinikahkan, Randhika menyarung busana tradisional rekaan pereka fesyen tersohor India, Abu Jani Sandeep Koshla serta Manish Malhotra.

Koleksi barang kemas 

Barang kemas yang digayakan ibu dan anak ini menjadi tumpuan dunia.

Kemilau wanita-wanita Ambani sememangnya tiada tandingan. Setiap kali muncul dalam acara perkahwinan, mata pasti tertumpu kepada barang kemas yang digayakan oleh mereka.

Dikhabarkan nilai kalung zamrud yang dipakai oleh Nita Ambani sahaja berjumlah RM267 juta.

Anak perempuannya iaitu Isha dilihat memakai kalung yang dibuat menggunakan sembilan batu permata berbeza yang menggambil masa selama tiga tahun untuk dikumpul dan dihasilkan.

Ada netizen yang bercanda bahawa Thanos juga akan tertunduk malu dengannya.

20 juta bunga 

ANTARA dekorasi indah yang menggunakan pelbagai jenis bunga.

Menakjubkan! Kia-kira 20 juta kuntum bunga daripada pelbagai jenis telah digunakan untuk menghiasi segenap ruang majlis perkahwinan ini.

500 pakar hiasan bunga telah diupah untuk menyiapkan dekorasi. Pelbagai jenis gubahan bunga yang mencuri tumpuan termasuklah yang berbentuk haiwan seperti monyet, zirafah, kancil, itik dan banyak lagi kerana Anant merupakan pencinta haiwan.

1,000 lampu ‘chandelier’ 

Penggunaan lampu hiasan chandelier membuatkan suasana majlis perkahwinan tampak semakin gah.

Bagaikan set penggambaran filem Sanjay Leela Bhansali, ruang majlis perkahwinan diterangi dengan 1,000 lampu hiasan ‘chandelier’ mewah yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM40 juta.

37,500 Jenis menu, 500 cef seluruh dunia 

Persis festival makanan, sebanyak 37,500 menu telah disediakan oleh 500 cef terbaik dari pelbagai negara untuk 5,000 tetamu yang hadir.

Dua cef terkemuka yang memiliki restoran terbaik di dunia iaitu Virgilio Martinez yang berasal dari Peru dan Avinash Martin dari Goa India antara yang dipilih.

Virgilio telah menyediakan menu makanan barat manakala Avinash pula menyediakan menu tradisional India dan vegetarian.

10,000 Anggota Polis Bertugas

Petugas bersiap siaga sebelum tetamu tiba.

Menghimpunkan ribuan selebriti terkenal, barisan pemimpim  serta para jutawan dari seluruh dunia, majlis perkahwinan ini telah dikawal rapi kira-kira10,000 anggota polis demi memastikan keselamatan para tetamu terjaga.

Bukan hanya itu, sebanyak 5,000 kamera litar tertutup turut dipasang di lokasi perkahwinan beserta dron. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok