Lepas status kewarganegaraan AS, Josiah Hogan sanggup bayar RM23,000

MEMILIH untuk melepaskan hak kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS), pelakon Josiah Hogan mengakui keputusan tersebut tidak menimbulkan penyesalan buat dirinya.

Kata Josiah atau nama lengkapnya Josiah Padilla Hogan, 37, tindakan itu diambil bagi membolehkan dia menjadi warga Malaysia sekali gus mendapat manfaat rakyat tempatan.

“Saya memikirkan tentang masa depan anak-anak yang membesar di sebuah negara yang berlandaskan agama Islam.

“Perkara itu menjadi keutamaan buat saya kerana hal sebegini tidak boleh dipandang remeh khususnya melibatkan pembesaran anak-anak.

“Isteri saya juga berasal dari Malaysia dan saya sendiri bekerja dalam industri seni kreatif tempatan. Jadi secara tidak langsung hal itu mempengaruhi keputusan saya untuk mendapatkan kewarganegaraan negara ini,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana drama Barajiwa di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam semalam.

Pada masa sama, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu turut memberitahu proses untuk mendapatkan hak kewarganegaraan itu sudah berjalan selama empat tahun.

Katanya tempoh tersebut berlarutan disebabkan oleh penularan virus Covid-19 yang mengakibatkan beberapa operasi tergendala.

“Saya mula membuat permohonan sekitar 2019 dan disebabkan Covid-19, perkara itu menjadi lebih lama. Namun, sekarang ini saya sedang menunggu keputusan daripada pihak Putrajaya kerana proses temuduga dan dokumentasi telah selesai.

“Status saya sekarang ialah penduduk tetap dan memiliki kad pengenalan merah. Bagi melepaskan kewarganegaraan AS, saya perlu membayar sebanyak AS$5,000(RM23,411).

“Ibu saya juga sudah melepaskan kewarganegaraan As dan kini sudah menjadi rakyat Malaysia. Tetapi prosesnya lebih mudah kerana mak berkahwin dengan orang tempatan,” katanya.

Josiah juga berterima kasih kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana membantu dalam memberikan surat rekomendasi.

Pelakon drama Khilaf Asmara itu dilahirkan di Texas, AS dan berpindah bersama ibunya yang berketurunan Mexico ke Malaysia sekitar usianya tujuh tahun.

Untuk info, Josiah berkahwin dengan wanita tempatan bernama Nurul Hidayu Mohamed Nordin pada Mei 2013 dan dikurnikan empat orang cahaya mata.

Josiah turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Irvine hasil daripada perkahwinan pertamanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok